Khamis, 22 Januari 2009

Soal jawab Haji

SOAL JAWAB HAJI

PENGERTIAN
Soalan : Apakah perbezaan di antara haji dan umrah?

Jawapan :

a. Haji mesti di buat pada masa yang tertentu iaitu mulai daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah, manakala umrah boleh dibuat di sebarang masa.

b. Haji memerlukan wuquf di Arafat pada hari 9 Zulhijjah sedang umrah tidak ada wuquf.

c. Dalam amalan haji termauk bermalam di Muzdalifah dan di Mina juga melontar jamrah, manakala amalan umrah tidak ada semua itu

HUKUM DAN SYARAT
Soalan
2.1 Siapakah yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah?
Jawapan
Orang yang wajib mengerjakan haji dan umrah ialah orang mukallaf yang berkemampuan iaitu ada perbelanjaan untuk dirinya dan orang yang ditanggungnya sama ada yang pergi bersamanya atau yang ditinggalkan, sihat badan, ada kenderaan, aman perjalanan dan tiudak untuk masa. Orang perempuan perlu ada mahram atau pergi dalam kumpulan ramai wanita. Yang bersuami perlu keizinan suami. Orang yang berhutang yang perlu dibayar pada masa ia hendak pergi perlu membayar hutangnya. Kalau hutangnya bertangguh perlu ada penjamin atau mendapat izin dari yang punya hutang

Soalan
2.2 Apakah hukum bagi seorang wanita menunaikan fardu haji dengan tidak diiringi oleh mahramnya sebaliknya hanya ditemani oleh sekumpulan wanita kenalannya?
Jawapan :
Tidak wajib seseorang wanita itu pergi haji melainkan dengan mahram atau dengan sekumpulan wanita sekurang-kurangnya 3 orang selain dari dirinya sendiri; ini pada haji yang fardu. Pada haji sunat atau haji badal tidak diharuskan melainkan dengan mahram atau suami menurut pendapat yang muktamad. Tetapi bagi haji fardu seseorang wanita boleh (bukan wajib) pergi jika ia yakin akan keselamatan dirinya walaupun seorang diri.

Soalan:
2.3 Apakah hukum bagi seorang wanita yang pakar dalam bidang kebajikan atau rawatan perubatan diambil bertugas untuk merawat para jemaah di Tanah Suci dan pemergiannya tidak diiringi oleh mahramnya?
Jawapan
Harus, jika ia yakin selamat pergi dan balik tanpa sebarang fitnah atau gangguan pada diri, harta atau maruahnya

Soalan
2.4 Bolehkah seorang wanita yang sedang dalam iddah meneruskan rancangan menunaikan fardu haji?
Jawapan
Jika ia sudah berihram ia boleh meneruskannya. Kalau belum berihram ia mesti memegang iddah dan pulang jika boleh. Kalau tidak, ia boleh melakukan apa yang lebih selamat dan lebih mudah untuknya. Adapun wanita yang hanya baharu berdaftar dan sudah membayar wang kepada agensi haji kemudian suaminya meninggal dunia maka wanita itu tidak haruskan belayar kerana memegang iddah adalah wajib dengan nas Al-Quran. Dalam masa iddah wanita itu tidak harus keluar dari rumah melainkan kerana darurat yang mendesak seperti mencari nafkah dan sebagainya. Ibadat haji walaupun wajib tetapi saat kewajipannya belum tiba pada masa itu dan ia boleh dilambatkan, sedang memegang iddah adalah wajib dari saat kematian suaminya. Andainya wanita itu hanya hendak mengerjakan haji yang kedua atau ketiga maka tidak ada alasan langsung untuk pergi. Dalam kedua-dua hal sama ada haji wajib atau haji yang kedua atau ketiga kalau wanita itu pergi maka hukumnya adalah haram walaupun ada orang mengatakan walaupun perginya haram tetapi hajinya sah juga, maka perkataan yang semacam ini hanya menggalakkan wanita itu pergi pada hal syarak melarangnya pergi. Dan menurut adab dan peraturan haji pemergian seseorang hendaknya suci dari sebarang dosa agar ia mendapat haji yang mabrur. Dari itu pihak wanita yang kematian suami perlu memerhatikan masalah ini dan janganlah pergi dalam masa iddah. Pihak agensi-agensi haji atau sesiapa yang bekerja menguruskan haji mestilah mengambil langkah-langkah persediaan untuk menghadapi masalah orang yang mesti menarik diri dan memulangkan wang yang sudah dibayarnya dengan cara yang tidak merugikan mana-mana pihak dan tidak melanggar hukum-hukum syarak.

Soalan
2.5 Adakah berhak seorang suami melarang isterinya menunaikan hajinya?

Jawapan
Ya. Menurut mazhab Syafie suami berhak melarang kerana syarak mewajibkan isteri patuh kepada suami. Pemergian isteri ke Makkah tanpa suami boleh menimbulkan kesulitan kepada suami. Sekiranya suami melarang tanpa alasan yang diharuskan oleh syarak maka dialah yang menanggung dosanya.

Soalan
2.6 Apakah hukum haji kanak kanak yang belum baligh dan adakah dapat pahala melakukannya?

Jawapan
Kanak kanak yang belum baligh sah hajinya. Tetapi hajinya belum menggugurkan fardunya. Setelah ia baligh kelak dan cukup syarat-syarat hajinya, wajib ia menunaikannya. Pahala hajinya dituliskan untuk kanak-kanak itu, manakala warisnya pula mendapat pahala membantu dalam perkara kebajikan

Soalan
2.7 Bagaimana cara bapa atau wali berniat untuk melakukan kerja-kerja haji bagi kanak-kanak yang belum mumaiiz?
Jawapan
Kanak-kanak yang belum mumaiyiz hendaklah diihramkan oleh walinya dengan niat:-
"Aku ihramkan kanak-kanak ini/namanya dengan haji/umrah kerana Allah ta’ala."
Kemudian kanak-kanak ini hendaklah dibawa ke tempat-tempat yang perlu dikunjungi oleh jemaah. Dalam perkara seperti tawaf, sai dan melontar misalnya, wali hendaklah membuat untuk dirinya dahulu kemudian baru boleh dibuat untuk anaknya

BADAL HAJI
Soalan
Apakah hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia?
Jawapan
Jika orang yang telah meninggal dunia itu belum mengerjakan haji sedang dia ada meninggalkan harta maka hukumnya wajib dihajikan daripada hartanya. Kalau ia tidak ada harta peninggalan tidaklah wajib waris menghajikannya tetapi kalau dibuatkan adalah baik. Ini pada haji pertama. Adapun jika si mati sudah pernah mengerjakannya, semasa hidupnya maka tidaklah sah dihajikan lagi kecuali jika dia ada bernazar atau dia berwasiat supaya dihajikan.

Soalan
Adakah wajib dihajikan orang yang telah meninggal dunia dari harta peninggalannya sedangkan semasa hayatnya beliau belum lagi menyempurnakannya walaupun kemampuannya telah mencukupi?
Jawapan
Ya, wajib di hajikan daripada harta peninggalannya kerana kewajipan itu tertakluk kepada harta dan menjadi tanggungjawab waris mengeluarkan bahagian hajinya.

Soalan
Apakah wajib ke atas si waris untuk menghajikan orang yang meninggal dunia yang tidak meninggalkan sebarang harta pusaka?
Jawapan
Tidak wajib.



Soalan
Apakah pahala yang dapat diperolehi jika mengerjakan haji bagi orang yang meninggal dunia?
Jawapan
Orang yang mengerjakannya dapat pahala membantu dalam perkara kebajikan. Orang yang mati itu pula gugur kewajipan

Soalan
Bolehkah seorang yang tua atau uzur kerana sakit dan tidak ada harapan sembuh mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan haji bagi dirinya?
Jawapan
Ya. Boleh mewakilkan orang lain jika ia tidak ada harapan lagi untuk mengerjakan hajinya sendiri. Orang ini termasuk dalam erti kata "makdhub".

Soalan
Bolehkah seorang wanita mengerjakan haji untuk seorang lelaki yang meninggal dunia?
Jawapan
Boleh.

Soalan
Bolehkah seseorang mengerjakan haji untuk orang yang meninggalkan dunia lebih dari seorang?
Jawapan
Setiap orang hanya boleh mengerjakan haji untuk seorang di dalam satu-satu tahun itu.

Soalan
Bolehkah seorang mengerjakan umrah untuk orang lain sesudah dia mengerjakan haji dan umrah wajibnya?
Jawapan
Ya. Boleh.

KEMAMPUAN

Soalan
Apakah istilah berkemampuan dalam ibadat haji?
Jawapan
Kemampuan ialah:
a. Ada perbelanjaan bagi diri sendiri, tanggungan yang dibawa dan orang yang tinggal yang wajib ditanggung nafkahnya.
b. Sihat badan
c. Aman perjalanan dan ada kenderaan.
d. Tidak suntuk masa untuk pergi setelah ada kemampuan pada tahun itu.

Soalan
Adakah hukumnya salah, apabila seseorang mengerjakan haji dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh orang lain?

Jawapan
Tidak salah. Tetapi tidak wajib ia menerimanya kerana takut menanggung budi.

Soalan
Bolehkah seseorang berhutang untuk menunaikan fardhu haji?
Jawapan
Tidak wajib haji selagi belum ada kemampuan. Dengan ini tidak perlu berhutang. Kalau dia berhutang juga sedang dia tidak ada cagaran untuk membayarnya maka ia berdosa kerana menyusahkan dirinya dengan perkara yang belum diwajibkan.

Soalan
Adakah dibolehkan seorang mengerjakan haji sedangkan dia belum melunaskan semua hutangnya yang dibayar setiap bulan dari potongan gajinya?
Jawapan
Ya, dia boleh mengerjakan haji kerana ia ada mempunyai cagaran untuk membayar hutangnya. Malah jika dia ada wang simpanan yang memang tidak digunakannya untuk membayar hutang, wajiblah ia mengerjakan haji apabila sampai masanya sebagaimana ia wajib menzakatkan wang itu melainkan kalau digunakannya wang itu semua untuk membayar hutangnya itu.

RUKUN WAJIB HAJI

Soalan
Terangkan mengenai rukun dan wajib haji?

Jawapan
Rukun haji 6 perkara
a. Niat
b. Wuquf
c. Tawaf Haji
d. Saie
e. Bercukur
f. Tertib

Wajib Haji 8 Perkara:
a. Berniat dari miqat
b. Bermalam di Muzdalifah
c. Melontar jamrah aqabah di Mina pada 10 Zulhijjah
d. Bermalam di Mina - sekurang-kurang 2 malam, malam 11, 12, 13 Zulhijjah.
e. Melontar 3 jamrah sekurang kurangnya dua hari pada 11, 12, 13 Zulhijjah.
f. Meninggalkan larangan ihram
g. Tawaf wada (selamat tinggal)

Soalan
Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah?

Jawapan
Ada 3 macam cara:
a. Cara tamattuk iaitu mendahulukan umrah sebelum haji dalam bulan-bulan haji.
b. Cara ifrad iaitu mendahulukan haji sebelum umrah di dalam bulan-bulan haji.
c. Cara qiran iaitu dibuat haji dan umrah sekali gus

Soalan
Apakah perbezaan cara-cara tersebut di atas:-

Jawapan
Haji Tamattuk
Apabila seseorang itu sampai di Miqat/Jeddah dia terus berniat mengerjakan umrah sahaja, lalu dia masuk ke Makkah membuat tawaf umrah, bersai dan bercukur. Dengan ini dia keluar dari ihram. Ia boleh melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali memburu binatang di tanah haram atau mencabut pokoknya kerana larangan ini tetap ada dalam tanah haram pada bila-bila masa. Apabila sampai 8/9 Zulhijjah barulah dia berihram untuk haji pula dari tempat tinggalnya di Makkah dan meneruskan amalan hajinya. Orang ini dikenakan dam.

Haji Ifrad
Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia terus berniat haji dan dia masuk ke Makkah membuat tawaf Qudum (selamat datang) hukumnya sunat dan dia boleh membuat sai haji jika ia mahu dan tetap dalam ihram hingga selesai amalan haji. Kemudian barulah dia boleh membuat umrah.

Haji Qiran
Apabila seseorang itu sampai ke Miqat/Jeddah ia berniat haji dan umrah sekali gus. Dia meneruskan amalan haji sahaja. Umrahnya termasuk sekali. Orang ini juga dikenakan dam.

Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan di antara haji tamattuk, ifrad dan qiran?

Jawapan
Yang lebih afdal haji ifrad. Tetapi di sana ada satu pendapat bahawa orang yang datang dari jauh dan lama pula duduk di Makkah haji tamattuk lebih afdal kerana lebih mudah, terutama orang yang tidak biasa dengan cuaca Makkah


Soalan
Seorang yang mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji kemudian ia keluar ke Madinah dan bermiqat haji di Bir Ali, adakah haji cara begini dikatakan haji ifrad atau tamattuk dan adakah wajib membayar dam?

Jawapan
Haji ini dinamakan haji tamattuk tetapi ia tidak di kenakan dam. Yang dikenakan dam itu kalau ia telah meninggalkan miqat haji tetapi sekarang ia telah keluar dan bermiqat dari miqat haji.

Soalan
Seorang yang telah berniat mngerjakan umrah tetapi kedatangan haidnya tidak membolehkan dia menyempurnakan umrah hingga ke hari Arafah. Bolehkah dia menukar niatnya ke haji ifrad dan adakah wajib dia membayar dam?

Jawapan
Selagi dia belum tawaf umrah dia boleh memasukkan niat haji ke dalam umrahya menjadi haji qiran dan dia dikenakan dam. Kalau sudah mula tawaf tidaklah boleh ia menukar niatnya.

Soalan
Apakah boleh mengerjakan haji ifrad atau qiran bagi jemaah yang datang dari daerah Asia Tenggara dengan tidak membawa kambing korban?

Jawapan
Tidak wajib membawa kambing (hadyun) bagi haji ifrad atau qiran menurut mazhab Syafii hanya sunat muakkadah sahaja. Itu pun bukanlah mesti daripada negerinya lebih-lebih lagi seperti kita yang jauh ini keadaan tidak membenarkan. Ia hanya dibawa daripada miqat

MIQAT DAN BERIHRAM

Soalan
Apakah perbezaan di antara miqat makani dan zamani?

Jawapan
Miqat makani ialah tempat kita menunaikan niat. Miqat zamani pula ialah masa kita memulakan niat. Miqat makani bagi haji untuk orang yang datang dari jauh ialah 5 tempat menurut jurusan daerah masing-masing. Tempat-tempat itu tersebut dalam hadis Nabi saw. Miqat ini juga menjadi miqat umrah mereka. Orang yang tinggal di Makkah atau kawasan sekitarannya miqat hajinya ialah tempat tinggalnya. Adapun miqat umrahnya ialah tanah halal yang terdekat seperti Taneim atau yang jauh seperti Ja’ranah. Tidak ada miqat zamani bagi amalan umrah. Miqat zamani bagi haji ialah: mula daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah.

Soalan
Apakah ertinya ihram?

Jawapan
Erti Ihram ialah mengharamkan atas dirinya segaola yang diihramkan semasa ihram. Tetapi ianya tidak berlaku melainkan setelah berniat. Oleh kerana itu ihram juga diertikan niat. Orang yang sudah berniat walaupun tidak memakai ihram atau dia membuat perkara yang terlarang hajinya adalah sah tetapi ia berdosa dan dikenkan dam. Kecuali jika ia bersetubuh sebelum tahallul awal maka batal hajinya.

Soalan
Adakah wanita yang didatangi haid dibolehkan mandi sunat dan berniat ihram?

Jawapan
Ya, boleh dan sunat ia mandi kerana ihram dan mandi-mandi haji yang lainnya.

Soalan
Adakah boleh berniat ihram dengan tidak memakai ihram?

Jawapan
Boleh. Tetapi berdosa dan dikenakan dam

Soalan
Apakah hukum bagi seseorang yang tidak menjatuhkan niat di miqat?

Jawapan
Hukumnya haram. Kerana setiap orang yang menuju ke Makkah dengan tujuan haji atau umrah, mesti berihram dengan niat dan dikenakan dam jika melanggar miqat.

Soalan
Apakah hukum bagi seorang yang berniat ihram haji atau umrah setelah melewati miqat?

Jawapan
Niatnya sah tetapi dikenakan dam jika ia telah melewati kesuluruhan miqat.

Soalan
Bolehkah seorang yang telah berniat ihram haji, menukar niat untuk mengerjakan umrah?

Jawapan
Tidak boleh.

Soalan
Adakah dalil yang menguatkan kelebihan bermiqat di Ja’ranah untuk berihram umrah?

Jawapan
Dalilnya ialah kerana Nabi saw bermiqat umrah dari situ pada tahun pembukaan Makkah.

Soalan
Apakah yang harus dilakukan jika seorang wanita yang berniat ihram haji tetapi tidak dapat menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya kerana kedatangan haid hingga tiba tarikh kepulangan ke tanah airnya?

Jawapan
Ia boleh keluar meninggalkan Makkah hingga ia sampai ke tempat yang tidak mungkin ia kembali ke Makkah semua, di sana ia bertahallul kalau belum bertahallul setelah ia membayar dam kerana terhalang, dan ia wajib membuat rukun yang tertinggal itu pada bila-bila masa dengan ihram.

Soalan
Bagaimanakah yang harus dilakukan dan apakah hukumnya bagi jemaah yang telah berihram untuk mengerjakan haji atau umrah tetapi tidak dapat meneruskan niatnya untuk mengerjakan amalan-amalan tersebut dan terpaksa membatalkan ihramnya itu atas sebab-sebab tertentu seperti sakit terlantar, coma, hilang fikiran dan tidak dapat bergerak atau kerana keselamatan yang tidak terjamin di Tanah Suci atau di perjalanan menuju ke Tanah Suci ekoran dari peperangan atau keadaan huru-hara?

Jawapan
Jemaah haji yang tidak dapat meneruskan amalan haji atau umrahnya setelah mereka berihram yakni berniat, maka mereka boleh bertahallul dengan salah satu daripada dua cara berikut:
a. Mereka hendaklah membayar dam kerana terhalang dari meneruskan amalan iaitu menyembelih seekor kambing di tempat hendaklah dinilaikan harga kambing dan dibelikan makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau tidak mampu hendaklah mereka berpuasa menurut bilangan cupak yang dapat dibeli dengan harga seekor kambing, secupak puasanya sehari, kalau terdapat setengah cupak, puasanya juga sehari. Setelah membayar dam hendaklah mereka bertahallul dengan bercukur.
b. Mereka boleh terus bertahallul jika ada zuru yang menghalang tanpa membayar dam jika mereka telah berniat ihram dengan bersyarat iaitu kalau ada halangan, mereka akan bertahallul. Contoh niatnya: Aku niat haji/umrah dan aku berihram dengannya dengan syarat aku bertahallul jika ada uzur yang yang datang menghalang - atau lafaz lain yang seumpamanya. Maka apabila datang uzur mereka terus bertahallul.
Dalam kedua-dua keadaan mereka belum lagi sempurna mengerjakan haji. Jadi yang belum menunaikan haji wajib masih belum gugur kewajipannya dan mesti menunaikan hajinya di lain tahun.

Soalan
Adakah qaul yang membolehkan seseorang itu menggantungkan niat ihramnya?

Jawapan
Ya, ada qaul dalam perkara ini. Caranya ia hanya berniat ihram. Kemudian setelah masuk ke Makkah baharulah ia menentukan dengan niat haji atau umrah.

Soalan
Bilakah niat ihram untuk mengerjakan umrah bertukar menjadi haji?

Jawapan
Apabila seseorang itu memasukkan niat haji ke dalam umrahnya sebelum ia mula tawaf umrah, jadilah hajinya haji qiran dan dikenakan dam.

MASALAH LARANGAN IHRAM
Soalan
Adakah seseorang itu dikatakan telah melanggar larangan semasa berihram jika dia melakukan perkara-perkara berikut:-

Menyapu minyak angin (yang wangi baunya)?

Jawapan
Kalau ia bertujuan mendapatkan bau wanginya ia dikenakan dam dan haram. Tetapi kalau merupakan ubat yang perlu digunakan tidak ada ubat lain yang tidak wangi, boleh digunakan dan dibayar dam.

Mengucup Hajar Aswad (Hajar Aswad dibubuh minyak atar)?

Jawapan
Jika diketahui bahawa Hajar itu ada wangi-wangian haram ia mengucupnya kalau dikucupnya dikenakan dam. Kalau ia tidak mengetahuinya lalu tersentuh tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.

Memakai sabun wangi ketika mandi dan membasuh?

Jawapan
Kena dam dan haram.
Menggunakan ubat gigi?

Jawapan
Jika ubat gigi wangi kena dam dan haram.
Memakai tali pinggang yang hujungnya dimasukkan ke dalam sangkutannya
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam

Memakai jam tangan yang talinya bercantum?
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam.

Memakai rantai cermin mata?
Jawapan
Tidak haram dan tidak kena dam.

Memakai krim atau lotion di bibir atau tapak kaki yang kering dan berpecah-pecah untuk mengurangkan rasa perit-pedih?
Jawapan
Jika tidak wangi tidak haram dan tidak kena dam.

Soalan
Melakukan mandi sunat ihram dan menggunakan pakaian ihramnya di Madinah tetapi terlupa untuk berniat di miqat. Adakah sah hajinya itu?

Jawapan
Ya, sah hajinya tetapi ia kena dam kalau belum berniat hingga terlepas keseluruhan miqat.

Soalan
Bolehkah memakai ihram bagi lelaki dengan disimpul atau disemat dengan pin?
Jawapan
Tidak boleh dan kena dam kecuali pada bahagian bawah pada kain yang separas pinggang boleh digunakan tali pinggang atau sebagainya.

Soalan
Apakah hukum seorang doktor semasa dalam ihram terpaksa memakai sarung tangan plastik kerana tugas merawat pesakit. Adakah berdosa dan dikenakan dam?
Jawapan
Tidak berdosa jika perlu dan tidak dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukum seorang jemaah haji wanita yang diserang panas (heat stroke) terpaksa ditanggalkan tudung kepalanya untuk dimandikan dengan air batu?
Jawapan
Harus dan tidak kena dam.





Soalan
Bolehkah semasa berihram menghisap rokok atau paip yang tembakaunya berbau wangi?
Jawapan
Hukumnya haram dan dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukum bagi jemaah Haji semasa berihram mencabut atau membinasakan pokok-pokok atau membunuh binatang?
Jawapan
Mencabut pokok di tanah haram adalah terlarang bagi orang yang ihram atau tidak berihram dan dikenakan dam. Membunuh binatang, tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Yang dikenakan dam atas orang yang berihram ialah memburu binatang darat yang halal di makan sama ada di Makkah atau luarnya. Kalau tidak berihram terlarang juga dalam tanah haram.

Soalan
Adakah benar melakukan sekali umrah dari Ja’ranah sama dengan tujuh kali umrah dari Taneim?
Jawapan
Tidak ada keterangan yang jelas mengenai perkara yang tersebut itu. Yang tersebut dalam at-Tuhfah karya Ibnu Hajar bahawa al-Azraei menghikayatkan daripada al-Jundi bahawa tiga ratus orang nabi pernah berihram dari Ja’ranah. Wallahu a’alam.

TAWAF DAN SAIE
Soalan
Berapakah jenis tawaf?

Jawapan

a. Tawaf ada enam jenis.
b. Tawaf Haji
c. Tawaf Umrah
d. Tawaf Qudum
e.Tawaf Sunnat
f. Tawaf Nazar
g. Tawaf Wada

Soalan
Bagaimana mengerjakan tawaf dan di mana tawaf bermula dan berakhir?

Jawapan
Caranya:
Apabila seseorang itu masuk ke Masjid al-Haram pada mulanya hendaklah ia menuju ke Hajar Aswad lalu mengucupnya dan sujud atasnya. Kemudian ia berdiri mengadap Baitullah sedang keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad di kanannya lalu berniat. Kemudian dia pun mula berjalan dengan mengirikan Baitullah. Dan yang lebih afdal jika keadaan mengizinkan ia bergerak ke kanan Hajar Aswad mengadap Baitullah hingga melalui keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad kemudian ia mengirikan Baitullah dan memulakan perjalanan tawafnya.

Soalan
Bagaimana cara mengatasi masalah bagi seorang yang tidak dapat menghafal atau membaca bacaan-bacaan yang ikhaskan semasa mengerjakan tawaf dan sai?
Jawapan
Bacaan di dalam tawaf dan sai semuanya sunat. Malah semua bacaan di dalam haji dan umrah adalah sunat. Tidak mengapa dibacanya apa sahaja doa yang diketahui atau membaca surah-surah pendek dari Al-Quran semasa tawaf, sai dan wukuf.

Soalan
Adakah batal air sembahyang apabila penyentuhan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa bertawaf?

Jawapan
Hukum yang muktamadnya adalah batal jika penyentuhan kulit berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sudah mencapai umur yang diingini. Tetapi di dalam mazhab Syafii kita ada pendapat bahawa yang disentuh tidak batal. Pendapat ini boleh dipakai dalam keadaan darurat. Menurut pendapat Hanafi pula yang muktamad tidak batal melainkan dengan syahwat - pendapat ini boleh ditaklid dengan syarat kita berwuduk menurut mazhab Hanafi dengan menyapu sekurang-kurangnya suku kepala.

Soalan
Apakah hukum seoran yang mengerjakan haji ifrad tetapi tidak melakukan tawaf qudum?
Jawapan
Haji ifradnya sah kerana tawaf qudum adalah sunat.

Soalan
Bolehkah seorang melakukan tawaf haji atau umrah tanpa niat untuk bertawaf?
Jawapan
Boleh. Kerana niat ihram haji dan umrah mencakup semua amalan haji dan umrah

Soalan
Adakah sempurna satu pusingan tawaf seorang yang terjatuh semasa melakukannya dan beberapa kali terlepas dari mengirikan bahunya ke Kaabah kerana ditolak?

Jawapan
Kalau ia yakin bahawa bahu kirinya telah terpesong dari Kaabah semasa ditolak atau terjatuh itu dan ada bahagian tembok Kaabah itu yang tidak sempurna dikelilingi maka hendaklah ia berundur ke belakang untuk menyempurnakan perjalanan tawafnya, jika tidak munkin, hendaklah ia menambah bilangan untuk menyempurnakan tujuh pusingan yang sempurna.

Soalan
Adakah sah tawaf seorang yang bercakap-cakap atau memberi isyarat kepada orang lain semasa melakukan tawaf?
Jawapan
Sah tawafnya. Tetapi perbuatannya itu makruh melainkan jika perlu atau bercakap sesuatu yang baik. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: Bertawaf di Baitullah itu adalah salat (sembahyang), hanya Allah menghalalkan bercakap semasa tawaf, maka sesiapa yang perlu bercakap, bercakaplah dengan sesuatu yang baik.

Soalan
Apakah yang harus dilakukan oleh perempuan yan datang haidnya sebelum tawaf ifadhah. Bolehkah mereka meninggalkan tawaf itu dan terus pulang tanpa tawaf ifadhah?
Jawapan
Tawaf ifadhah dalah rukun haji yang mesti dikerjakan. Orang yang belum mengerjakan tawaf ifadhah walaupun dia telah bertahallul awal namun ada lagi perkara yang haram atasnya selagi ia belum tawaf iaitu akad nikah dan bersatu suami/isteri dan hajinya atau umrahnya belum lagi sempurna.

Andainya seseorang wanita yang datang dari jauh itu tidak dapat bertawaf ifadhah kerana ia kedatangan haid misalnya atau nifasnya belum selesai dan dia terpaksa pulang bersama jemaah yang, maka hukumnya seperti berikut:

a. Kalau dia telah membuat syarat semasa berniat ihram andainya ia uzur ia akan bertahallul, dia boleh bertahallul, dia boleh bertahallul dengan bergunting dan pulang tetapi hajinya belum sempurna. Ia kena haji lagi pada bila-bila masa.

b. Kalau dia tidak membuat syarat maka caranya hendaklah ia keluar hingga sampai ke kawasan sejauh dua marhalah dan menyembelih seekor kambing di situ dan bertahallul dengan bergunting. Kewajipan bertawaf ini masih ada atasnya dan wajib melakukan pada bila-bila masa dengan berihram.

c. Dia bertaklid dengan Mazhab Hanafi/Hambali yang tidak mensyaratkan suci ketika bertawaf. Lalu dia bertawaf dan sah hajinya tetapi ia berdosa kerana masuk masjid dalam keadaan haid dan dikenakan dam seekor unta. Ini diharuskan kalau sukar baginya menunggu hingga suci.

Soalan
Bolehkah seorang menjatuhkan niat mengerjakan tawaf di antara Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad?
Jawapan
Ya, boleh.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan kota Makkah selepas hari Tasyrik untuk menginap sementara di Jeddah buat beberapa hari sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah?
Jawapan
Hukumnya adalah harus. Tetapi yang afdalnya dibuat Tawaf Ifadhah itu pada hari kesepuluh Zulhijjah setelah melontar Jamrah Aqabah. Ataupun sebaik-baik selesai melontar hari Tasyrik.

Soalan
Bolehkah seseorang yang hendak pergi ke Jeddah atau Medinah kerana sesuatu urusan dan akan kembali semula ke Makkah tanpa mengerjakan tawaf wada’?

Jawapan
Wajib mengerjakan tawaf wada’. Kecuali orang yang memang berulang alik kerana kerjanya seperti pemandu teksi misalnya.

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seseorang yang meninggalkan tawaf wada’ kerana uzur atau darurat?

Jawapan
Tidak dikenakan dam.

Soalan
Adakah tawaf wada’ boleh diganti dengan ibadat lain?

Jawapan
Digantikan dengan dam. Jika ditinggalkan tanpa uzur hukumnya berdosa.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan tawaf wada’ dengan sengaja dan apakah damnya? Adakah dam kerana tidak bertawaf Wada’ boleh digantikan dengan puasa?

Jawapan
Hukumnya berdosa. Damnya ialah menyembelih seekor kambing di tanah haram. Jika tidak mampu maka hendaklah puasa 10 hari - 3 hari di Makkah dan 7 hari apabila kembali ke negeri sendiri.


Soalan
Bagaimana mengerjakan sai dan di mana sai bermula dan berakhir?

Jawapan
Mengerjakan sai ialah dengan berjalan cepat dan memendekkan langkah. Apabila sampai di kawasan yang bertanda hijau pada tiang-tiang di tepi Masa’a itu sunat pula berlari-lari anak bagi kaum lelaki sahaja. Sai bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

Soalan
Adakah sah sai seorang tanpa wuduk?
Jawapan
Sah sainya.
Soalan
Adakah sai sunat boleh dikerjakan seperti tawaf sunat?

Jawapan
Tidak ada sai sunat.

Soalan
Adakah sah sai seseorang yang tidak memijakkan kakinya ke batu asalnya?
Jawapan
Sah hajinya asalkan dia menghabiskan jalannya hingga ke kaki bukit dan afdal ia naik sedikti.

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang bertahallul di Safa kerana salah kira?

Jawapan
Jika sai nya sudah cukup bilangannya sahlah tahallulnya. Jika belum, ia wajib menyempurnakan sai nya dan dia dikenakan dam kerana membuang rambut sebelum masanya

WUKUF

Soalan
Apakah yang dikatakan wukuf di Padang Arafah?

Jawapan
Wukuf ertinya berhenti atau berdiri. Tetapi maksudnya ialah menghadirkan diri di padang Arafah pada masa antara zohor hari 9 Zulhijjah hingga sejurus ebelum fajar 10 Zulhijjah. Cukup wukuf walau sekejap atau llu sahaja dengan syarat orangnya sedar - sempurna akal. Di mana-mana sahaja dari bumi Arafah itu boleh jadi tempat wukuf, asal sahaja ianya dalam kawasan bumi Arafah. Dan tidak pula disyaratkan orangnya itu mesti memijak bumi Arafah. Andainya ia hanya berada di dalam kereta atau bas dan tidak turun menjejakkan kakinya di bumi itu juga sah wukufnya. Hanya yang ada khilafnya pada udara Arafah - menurut pendapat yang lebih kuat bahawa udara Arafah itu dikira Arafah seperti udara yang bertentang Kaabah dikira Kaabah. Andainya seseorang itu tidak dapat wukuf tidaklah sah hajinya dan hendaklah menruskan amalannya dan bertahallul dengan amalan umrah serta wajib membayar dam. Ia juga wajib mengqada haji pada tahun hadapannya.

Soalan
Sebutkan syarat-syarat berwukuf di Arafah?

Jawapan
Berwukuf di kawasan bumi Arafah. Orang yang berwukuf sudah berniat haji. Masa wukuf mulai dari waktu Zohor 9 Zulhijjah hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah. Orang yang berwukuf hendaklah sempurna akal.

Soalan
Apakah sah haji seorang seandainya dia tidak melakukan perkara-perkara wajib haji?

Jawapan
Hajinya sah tetapi ia dikenakan dam atas setiap wajib yang ditinggalkannya.

Soalan
Seandainya seorang jemaah meninggal dunia semasa berwukuf di Arafah, wajiblah warisnya menghajikannya sekali lagi?

Jawapan
Ya. Wajib menghajikannya - kerana rukun-rukunnye belum selesai. Itupun jika ada harta peninggalannya.

TAHALUL
Soalan
Apakah erti Tahallul?

Jawapan
Tahallul ialah keluar dari ihram dengan berukur atau bergunting setelah sampai masanya.

Tahallul awal : ialah bercukur lebih awal di Mina sebik baik sahaja sampai dari Muzdalifah pada 10 Zulhijjah setelah melontar jamrah.

Tahallul thani : ialah selesai wuquf, kembali ke Makkah bertawaf dan bersai haji.

Soalan
Apakah perbezaan tahallul umrah dan tahallul haji?

Jawapan
Tidak ada perbezaan. Cuma tahallul haji dua macam awal dan thani.

Soalan
Adakah seorang itu boleh menggunting/mencukurkan orang lain sebelum ia menggunting/mencukur diri sendir?

Jawapan
Boleh. Kerana yang dilarang mencukur diri sendiri atau orang lain ialah sebelum masa yang diharuskan bertahallul.

Soalan
Bolehkah seorang yang mengerjakan haji tamattuk itu bertahallul sebelum melakukan penyembelihan dam?

Jawapan
Boleh. Kalau damnya berupa penyembelihan kambing, afdal disembelih pada pagi Hari Raya Haji. Tetapi kalau damnya berpuasa iaitu 3 hari pada masa haji elok dibuat pada 3 hari sebelum Arafah dengan syarat setelah dia berihram haji iaitu pada hari keenam, ketujuh dan kelapan bulan Zulhijjah.

Soalan
Bolehkah seorang wanita yang sedang dalam haid bertahallul?

Jawapan
Boleh

Soalan
Sesudah melontar Jamrah Aqabah, seoran membuka ihramnya sebelum bertahallul. Adakah dia dikenakan dam dan apakah bentuk damnya?

Jawapan
Jika ia memakai pakaian yang berjahit sebelum bercukur ia dikenakan dam. Damnya ialah menyembelih seekor kambing atau memberi makan 6 orang fakir miskin setiap orang setengah gantang atau puasa tiga hari. Boleh dipilih salah satu daripadanya.

BERMALAM DI MUZDALIFAH DAN MINA
Soalan
Apakah perbezan di antara bermalam di Muzdalifah dan di Mina?

Jawapan
Bermalam di Muzdalifah cukup dengan sekejap masa selepas tengah malam manakala bermalam di Mina mesti dengan masa yang terbanyak dari bahagian malam.



Soalan
Adakah dikenakan dam jemaah haji yang tidak bermalam di Muzdalifah kerana dibawa oleh pemandu bas langsung ke Mina sebelum lewat tengah malam?

Jawapan
Tidak dikenakan dam kalau ia tidak mengetahuinya atau terpaksa berangkat sama.

Soalan
Bolehkah seorang yang uzur kerana sakit dibenarkan tidak bermalam di Muzdalifah dan adakah dia berdosa dan dikenakan dam?

Jawapan
Dibenarkan, tidak berdosa, dan tidak dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukumnya bagi jemaah haji yang tidak dapat bermalam di Muzdalifah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah kerana bas lewat tiba?

Jawapan
Gugur bermalam di Muzdalifah dan tidak dikenakan dam.

Soalan
Apakah mengutip anak-anak batu hanya boleh dibuat di Muzdalifah? Apa hukumnya jika mengutip di tepi-tepi jalan di Mina?

Jawapan
Sunat mengutip anak-anak batu di Muzdalifah kerana Nabi saw menyuruh sepupunya al-fadhi bin Abbas mengutipnya untuk baginda pada waktu Subuh di situ. Tetapi ia boleh dikutip dimana-mana sahaja di tanah haram; hanya makruh dikutip batu yang sudah digunakan untuk melontar atau tempat yang najis.

Soalan
Apakah hukum bermalam di Muzdalifah sehingga terbit fajar dalam keadaan sekitaran yang sempit dan penuh sesak hingga menyulitkan?

Jawapan
Hukumnya adalah sunat dengan syarat tidak menyukarkan.

MELONTAR JAMRAH
Soalan
Bilakah masa bagi melontar jamrah Aqabah pada hari Nahar?

Jawapan
Sebaik sampai dari Muzdalifah selepas tengah malam 10 Zulhijjah.

Soalan
Adakah sah melontar tiga jamrah pada hari Tasyrik tanpa melontar jamrah Aqabah pada hari Nahar?
Jawapan
Tidak sah melontarnya. Kerana wajib tertib pada melontar pada hari-hari tersebut.

Soalan
Adakah sah melontar tiga jamrah pada hari Tasyrik tanpa melontar jamrah di Hari Tasyrik sebelum tergelincir matahari?
Jawapan
Tidak sah untuk melontar hari itu. Tetapi sah untuk hari semalam yang telah berlalu.

Soalan
Sesudah melontar jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah dan kembali ke Makkah untuk bersembahyang Subuh di Makkah, boleh atau tidak masuk ke Mina pada 10 Zulhijjah selepas waktu Isyak?
Jawapan
Boleh. Asal sahaja bermalamnya melebihi dari separuh malam.

Soalan
Adakah sah melontar Jamrah Aqabah di sebelah belakang? Apakah yang harus dilakukan jika ini terjadi? Adakah dikenakan dam kerana ia bercukur selepas melontar?
Jawapan
Tidak sah. Ia dikenakan dam kerana bercukur sebelum masanya. Kalau masa melontar masih ada ia wajib melontar semula. Jika sudah selesai masanya iaitu keseluruhan hari Tasyrik dia dikenakan dam pula kerana tidak melontar.

Soalan
Bolehkah seorang melontar jamrah untuk dirinya dan orang lain dengan sekali jalan?

Jawapan
Tidak boleh. Ia mesti menyelesaikan semua lontaran bagi dirinya pada tiga-tiga jamrah

NAFAR AWAL/SANI
Soalan
13.1 Apakah yang dikatakan nafar awal dan nafar thani?

Jawapan
Nafar awal ialah beredar meninggalkan Mina lebih awal iaitu bermalam hanya dua malam dan melontar hanya dua hari iaitu 11 dan 12 Zulhijjah.
Nafar thani ialah bermalam 3 malam dan melontar 3 hari.


Soalan
13.2 Apakah syarat-syarat nafar awal?
Jawapan
Syarat nafar awal ialah setelah bermalam dua malam, malam 11 dan 12 dan melontar dua hari 11 dan 12 Zulhijjah serta berangkat keluar dari Mina sebelum Maghrib hari 12 Zulhijjah dan tidak kembali.

Soalan
13.3 Bolehkah seorang yang telah berniat nafar awal, pulang semula ke Mina pada hari 13 Zulhijjah atas sebab-sebab tertentu?

Jawapan
Boleh

DAM
Soalan
Apakah erti Dam?

Jawapan
Asal makna dam ialah darah. Kemudian dipakai sebagai nama binatang ternakan yang disembelih kerana menebus kesalahan atau menutupi kekurangan dalam masa mengerjakan haji atau umrah. Kemudian digunakan perkataan ini untuk sebarang denda ganti penyembelihan.

Soalan
Mengapa orang yang melakukan haji tamattuk dikenakan dam?

Jawapan
Kerana ia telah tidak berihram dari miqat haji dalam musim haji. Kecuali penduduk Makkah dan sekitarnya tidak dikenakan dam.

Soalan
Berapa dam yang harus dibayar jika seorang itu mengerjakan haji tamattuk dengan berniat di Jeddah?

Jawapan
Satu dam sahaja - Menurut qaul yang mengatakan Jeddah itu sebagai miqat. Kalau menurut qaul yang mengatakan Jeddah tidak dikira miqat kena dua dam. Satu dam kerana berihram umrah setelah melalui miqat, satu dam lagi kerana meninggalkan miqat haji. Untuk lebih ihtiat (lebih berjaga-jaga) pendapat yang kedua lebih kuat.

Soalan
Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dijadikan dam?

Jawapan
Binatangnya mesti sudah sampai umur boleh dibuat korban dan tidak ada sebarang penyakit serta cukup sifatnya.

Soalan
Adakah berdosa jika seorang itu melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram walaupun setelah membayar dam?

Jawapan
Jika dilakukannya kerana terlupa, terpaksa atau kerana sesuatu keuzuran yang diterima oleh syarak ia tidak berdosa.

Soalan
Bolehkah seorang itu melewatkan pembayaran dam? Bagaimana pula jika bayaran dam seseorang itu dibayar di luar tanah haram?

Jawapan
Yang afdalnya dibayar pada waktunya. Ada masanya pula seseorang tidak boleh bertahallul melainkan setelah membayar dam. Semua dam mesti dibayar di tanah haram kecuali dam kerana terkepong atau terhalang dari meneruskan haji atau umrahnya - dikeluarkan ditempat mana ia terhalang.

Soalan
Bolehkah seorang itu memakan daging damnya sendiri?

Jawapan
Tidak boleh. Semuanya mesti disedekahkan. Kalau sudah diterima oleh orang yang berhak kemudian orang ini menjamunya adalah harus.

Soalan
Bolehkah seorang itu mewakili orang lain untuk membayar damnya?

Jawapan
Boleh

Soalan
Adakah sah dam seorang yang dibuat dengan tidak berijab kabul?

Jawapan
Perwakilan mesti ada ijabnya dengan lafaz. Kalau ia menyembelih sendiri cukup dengan niat. Wakil wajib berniat atas nama orang yang mewakilkan.

Soalan
Adakah sah dam yang dibayar melalui Bank Islam yang terdapat di Arab Saudi?

Jawapan
Ya. Sah dengan syarat pihak bank itu bertindak sebagai wakil untuk menyembelih dam itu.

Soalan
Adakah dikenakan dam jika seorang yang uzur itu tidak dapat melakukan tawaf wada’?
Jawapan
Tidak dikenakan dam kerana uzur

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang ternampak rambut di lantai biliknya sedangkan ia tidak pasti rambut siapakah itu?

Jawapan
Tidak wajib dam.

Soalan
Seorang yang terlupa yang dia dalam ihram telah mencabut rambutnya, adakah dikenakan dam keatasnya?

Jawapan
Ya. Dikenakan dam.

SOLAT JAMAK/QASAR
Soalan
Hasilkah sembahyang sunat ihram yang dilakukan di rumah ketika hendak berangkat, sedangkan niat ihramnya dilakukan kira-kira lapan jam kemudian?
Jawapan
Ya. Hasil pahala sembahyang sunat ihram itu - tetapi kurang afdal.

Soalan
Haruskah bersembahyang jamak dan qasar ketika wukuf di Arafah?
Jawapan
Tidak harus qasar. Hanya sunat jamak takdim Zohor dengan Asar di Arafah dan Maghrib dengan Isyak - jamak takhir di Muzdalifah.

Soalan
Hasilkah sembahyang sunat ihram yang dilakukan di waktu tahrim?
Jawapan
Tidak hasil dan tidak diharuskan kecuali jika dibuat dalam tanah haram Makkah.

Soalan
Seorang bersembahyang berjemaah di tempat tinggalnya mengikut imam di Masjid Al-Haram. Hasilkah jemaahnya? Adakah dia memperolehi fadhilat 100,000 kali ganda?
Jawapan
Jawabnya tidak hasil jemaahnya melainkan kalau dia menghadap pintu yang terbuka terus menghadap ke arah Masjid Al-Haram. Tetapi kalau ia hanya menghadap tingkap atau tembok di rumah atau di bilik hotelnya tidak sah berjemaahnya. Adapun bersembahyang sendiri atau berjemaah di rumah dalam kawasan tanah haram Makkah masih diharapkan dapat fadhilat 100,000 kali salat.

Soalan
Mana lebih afdal, sembahyang sunat tahiyatul masjid atau tawaf ketika kita masuk ke dalam Masjidil Haram?
Jawapan
Yang afdalnya ialah tawaf. Andainya ia tidak bertawaf bolehlah ia bersembahyang tahiyyatul masjid.

Soalan
Adakah sembahyang sunat di Jabal Rahmah itu dituntut?
Jawapan
Tidak dituntut, kerana tidak ada keterangan bahawa ada sembahyang yang khusus di situ.

Soalan
Empat puluh sembahyang di Masjid Nabawi yang di antara fadhilatnya terlepas dari api neraka. Adakah sembahyang itu sembahyang fardu atau sunat?
Jawapan
Sembahyangnya ialah sembahyang fardu empat puluh waktu - kira kira berada selama 8 hari di Madinah.

Soalan
Bagaimana cara mengerjakan sembahyang menghormati waktu?
Jawapan
Caranya dengan membuat apa yang boleh dibuat daripada syarat dan rukunnya. Yang tidak dapat dibuat itu dimaafkan. Jika kurang syaratnya dikenakan Qadha.

Soalan
Terangkan cara yang sebaik-baiknya mengerjakan sembahyang semasa berada di Masya’ir pada hari Tarwiah, Arafah, Nahar dan Tasyrik?
Jawapan
Pada hari Tarwiah adalah afdal bersalat lima waktu di Mina iaitu mulai dari Zohor hari 8 Zulhijjah seterusnya Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kemudian barulah beredar ke Arafah untuk sembahyang Zohor dan Asar sebelum masuk ke kawasan bumi Arafah 9 Zulhijjah di Arafah. Maghrib dan Isyaknya di takhirkan untuk dibuat di Muzdalifah. Subuh dibuat awal waktu di Muzdalifah pada hari Nahar dibuat di Mina seperti biasa.

Soalan
Apakah hukum jika sembahyang yang dilakukan di Masya’ir dengan tidak berjemaah beramai-ramai?
Jawapan
Tidak mengapa. Cuma kurang afdal.

Soalan
Adakah digalakkan jemaah haji wanita bershalat Jumaat di Masjiil Haram dan Nabawi pada masa yang sesak di musim haji terutama pada Jumaat terakhir sebelum Hari Arafah?
Jawapan
Tidak digalakkan.

ZIARAH MADINAH
Soalan
Apakah hukumnya seorang jemaah haji yang tidak berziarah ke Madinah?

Jawapan
Makruh dan rugi kerana tidak menziarah tanah haram yang kedua itu - kecuali jika ada halangan atau keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Soalan
Bagaimana pula mereka yang mengerjakan umrah di luar musim haji tidak berziarah ke Madinah?

Jawapan
Sama sahaja hukumnya seperti yang telah disebutkan.

UMUM
Soalan
Haruskah air zamzam digunakan untuk:

i) Mandi?
Jawapan
Harus.

ii) Membasuh?
Jawapan
Harus

iii) Beristinjak?
Jawapan
Makruh - jika ada air yang lain - keuali al-Imam al-Muhib al-Tabari menyatakan haram - tetapi istinjaknya sah.

iv) Membersihkan najis?
Jawapan
Makruh - kecuali al-Tabari mengatakan haram.

Soalan
Adakah rosak air zamzam yang dimasak atau dicampur air batu?
Jawapan
Tidak rosak.

Soalan
Adakah Mas’a sebahagian dari Masjidil Haram?
Jawapan
Bukan dari Masjid.

Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan dahulu ketika masuk waktu salat samada bersalat atau menguruskan jenazah?
Jawapan
Bersalat dahulu. Kecuali jika jenazah itu sudah agak lama perlu diuruskan segera.

Soalan
Bolehkah selama di Makkah (dalam Safar) diperbolehkan tayamum walaupun ada air, berdasarkan surah Al-Maidah ayat 6?

Jawapan
Tidak boleh. Kerana berdasarkan ayat 6 Surah Al-Maidah itu juga tayammum diharuskan kerana ketiadaan air. Kecuali kalau terlalu sejuk yang tidak tertanggung pada adat atau sakit tidak boleh menggunakan air boleh bertayammum walaupun ada air.

Rabu, 14 Januari 2009

Kitab Rahsia Haji


Allah s.w.t. telah menjadikan Rumah Allah yang mulia (Ka’bah) itu tempat perkunjungan orang ramai dan tempat aman kesentosaan, dan Allah telah meletakkannya di tempat yang paling tinggi, dengan dinisbahkannya kepada diriNya sebagai tanda kemuliaan, kehormatan dan keutamaan. Kemudian Allah telah menjadikan berziarah kepadanya serta bertawaf di sekelilingnya sebagai pelindung antara hamba dengan penyiksaanNya.
Haji itu pula merupakan salah satu dari Rukun-rukun Islam dan sendi-sendinya yang terkuat, diwajibkan sekali seumur hidup. Dengan menyempurnakan ibadat Haji itu akan tersempurna pulalah Islam seseorang itu dan lengkaplah agamanya.
Kini sewajarnyalah ditumpukan perhatian sepenuhnya kepada keterangan-keterangn lanjut mengenai Haji, dan juga mengenai rukun-rukunnya, adab tertibnya, keutamaan dan rahsia-rahsianya.

Keutamaan Haji dan Ka’bah, Makkah dan Madinah
Mengenai keberangkatan kerana melawat masjid-masjid utama, Allah telah berfirman:
“Permaklumkanlah kepada sekalian manusia untuk melakukan ibadat Haji niscaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai (unta dan lain-lain) mereka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh.” (al-Haj: 27)

Berkata Qatadah: Apabila Allah s.w.t. memerintahkan Ibrahim a.s. untuk mengisytiharkan kepada manusia sekalian dengan amalan Haji beliau menyeru: Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mendirikan rumahNya, maka hendaklah kamu mengunjunginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa yang naik haji sedangkan ia tiada berkata kotor atau berbuat jahat, dia keluar dari dosa-dosanya suci seperti keluarnya bayi di hari dilahirkan oleh ibunya.”

• Ada suatu riwayat yang mengatakan: Bahawasanya Ka’bah itu nanti di Hari Kiamat akan diarak seperti seorang pengantin perempuan di hari Langsung dan setiap orang yang telah berhaji kepadanya akan kelihatan bergayutan di tabir-tabirnya, sambil berjalan bersama-samanya sehingga masuk ke dalam syurga.
• Al-Hasan al-Basri r.a berkata: Bersedekahlah satu dirham di Kabah itu dibalas dengan seratus ribu, begitu pula setiap kebajikan yang dilakukan di situ digandakan Allah pahalanya. Dengan seratus ribu kali. Ada yang menambah pula, bahawa melakukan kejahatan juga dilipat-gandakan dosanya, sebagaimana dilipat-gandakan pahalanya.

Apabila Rasulullah s.a.w kembali semula ke Makkah, baginda lalu mengadap kepada Ka’bah seraya berkata: Sesungguhnya engkau ini sebaik-baik bumi Allah azzawajalla dan negeri Allah yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana aku telah dihalau daripadamu, tentulah aku tidak akan keluar meninggalkanmu.

Sesudah Makkah, tidak ada bumi yang lain yang lebih diutamakan seperti negeri Madinah yang terkenal dengan nama Madinah Rasulullah s.a.w. Segala amal ibadat di dalamnya juga dilipat-gandakan pahalanya.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Satu kali sembahyang di dalam masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu kali sembahyang di tempat lain, kecuali Masjidil-Haram”.

Dan sesudah Madinah Rasulullah s.a.w pula, ialah bumi Baitul Maqdis kerana bersembahyang di dalamnya mendapat pahala sebanyak lima ratus sembahyang kecuali Masjidil Haram.
Sesudah ketiga-tiga bumi yang suci maka tempat-tempat yang lain semuanya sama dari segi darjatnya kecuali di lubang-lubang gunung kerana menghuni di dalamnya untuk tujuan beribadat, maka ia juga merupakan suatu keutamaan yang besar.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiada dipersiapkan pelayaran melainkan kepada tiga masjid; iaitu Masjidil Haram, masjidku ini (Masjid Madinah) dan Masjidil Aqsa.”

Kecuali ketiga-tiga masjid yang di atas tadi, masjid-masjid yang lain, semuanya sama dari segi darjatnya. Setiap negeri tentulah ada masjidnya sendiri, maka tiada ertilah belayar untuk menuju ke masjid lain.

Berikut, kita perturunkan syarat-syarat kewajiban Haji, iaitu rukun-rukunya dan wajib-wajibnya serta larangan-larangannya.

Syarat-Syarat haji
Syarat sahnya haji ialah dua perkara: Waktu dan Islam. Haji seorang anak kecil dihukumkan sah. Dia boleh meniatkan ihramnya sendiri bila dia anak yang mumaiyiz (dapat membedakan), tetapi kalau belum mumaiyiz maka niat ihram hajinya diniatkan oleh walinya. Dan hendaklah wali itu menyuruh anak kecil itu melakukan sebagaimana yang ia lakukan untuk pekerjaan-pekerjaan haji, seperti tawaf, sa’i dan sebagainya.

Adapun waktunya pula ialah: Syawwal dan Zulka’idah dan seterusnya sembilan hari dari Zulhijjah, sehingga terbitnya fajar pada Hari Raya Korban (Hari Raya Haji). Barangsiapa yang berihram dengan haji pada masa-masa selain dari segi yang tersebut itu, maka amalannya dikira umrah. Umrah pula boleh dilakukan pada semua masa sepanjang tahun.

Adapun syarat-syarat penunaiannya sebagi Haji Islam ialah:
• Baligh,
• Aqil dan
• waktu.

Wajib-wajib Haji
Adapun syarat kewajibannya ialah: Berkuasa dan yang demikian itu ada dua cara:
Pertama:
Melakukan amalan haji itu sendiri. Dalam hal yang demikian ada beberapa sebab, sama ada:
• Yang berhubungan dengan dirinya, maka hendaklah ia sihat.
• Yang berhubungan dengan jalan, maka hendaklah ianya aman di sepanjang jalan. Kalau dengan laut tidak ada pula yang boleh membahayakan dan tidak bimbang ada musuh di tengah jalan.
• Yang berhubungan dengan kewangan maka hendaklah ia mempunyai perbelanjaan pergi-balik, sehingga sampai dengan selamat ke negerinya semula. Dan hendaklah juga ia mempunyai perbelanjaan untuk segala para tanggungannya dalam masa pemergiannya untuk menunaikan haji itu. Kalau berhutang, hendaklah ia menjelaskan hutangnya terlebih dulu. Kalau jauh hendaklah ia mempunyai kenderaan kesan atau mempunyai wang untuk menyewanya.



Kedua:
• Berkuasanya seorang yang lumpuh dengan menggunakan wangnya, iaitu hendaklah ia mengupah seorang lain untuk menunaikan hajinya, tetapi orang itu mestilah sudah menunaikan haji untuk dirinya sebelum itu.
• Walau bagaimanapun bagi orang yang berkuasa setelah cukup syarat-syarat haji baginya, hendaklah ia segera menunaikan hajinya. Kalau mahu menangguhkan pula tidak salah, tetapi haruslah ia ingat bahawa ia sentiasa dalam bahaya. Bila ia berkelapangan sedangkan ia pada akhir umurnya (sudah terlalu tua), maka kewajiban menunaikan haji itu tidak gugur daripadanya. Bila ia mati sebelum berhaji maka ia bertemu dengan Allah azzawajallah dalam keadaan ashi atau menderhaka, disebabkan ia belum menunaikan haji. Jika ia dari golongan yang berada, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya perbelanjaan untuk menghajikannya, sekalipun ia tiada mewasiatkan kerana hukumnya sama seperti hutang. Orang yang mampu dan cukup semua syarat bila mati sebelum mengerjakan haji maka perkaranya amatlah berat sekali di sisi Allah s.w.t.

• Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Aku hampir-hampiir menuliskan suatu perintah ke seluruh negara untuk mewajibkan semacam cukai ke atas orang yang belum berhaji, padahal ia berkuasa untuk pergi ke sana.
• Sementara Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha’I, Mujahid dan Thawus sepakat berkata: Kalau aku mengetahui seseorang kaya yang belum berhaji meninggal dunia, padahal haji itu telah wajib ke atasnya, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan mayatnya. Ada pula setengah ulama, bila seorang jirannya yang belum berhaji mati, padahal ia seorang yang kaya, maka mereka tidak akan menyembahyangkan mayatnya.

Rukun-rukun haji
Adapun rukun-rukun haji yang mana tidak sah tanpanya ialah lima perkara:
• Berihram dengan haji
• Tawaf
• Sa’I sesudah tawaf
• Wuquf di Arafah
• Bercukur menurut setengah kaul.

Rukun-rukun umrah pula sama dengan rukun-rukun haji hanya umrah tdak ada wuquf di Arafah.

Dan cara-cara mengerjakan haji dan umrah ada tiga perkara:
• Haji Ifrad, iaitu dengan mengerjakan haji bersendirian terlebih dahulu, Apabila selesai keluarlah semua ke kawasan tanah halal, maka berihramlah dengan umrah pula.
• Haji Qiran, iaitu dengan mengerjakan sekaligus pekerjaan haji dan umrah. Syaratnya hendaklah meniatkan kedua-duanya sekaligus yakni dengan haji dan umrah dan menjadilah ia orang yang muhrim dengan keduanya, kemudian dia mengerjakan semua pekerjaan haji, dengan sendirinya pekerjaan umrahnya termasuk ke dalam pekerjaan haji tadi. Orang yang berhaji Qiran ini dikenakan ke atasnya Dam, iaitu dengan menyembelih seekor kambing, kecuali jika ia dari penduduk Makkah.
• Haji Tamattu’, iaitu bila meniatkan umrah melampaui batasn Miqat. Sesudah selesai umrah, bertahallullah ia di Makkah, lalu halallah baginya semua larangan-larangan ihram, sehingga tiba waktu haji, barulah meniatkan ihram dengan haji pula. Orang yang mengerjakan seperti ini dikenakan ke atasnya Dam seekor kambing jika tiada mendapati kambing, maka hendaklah ia berpusa 3 hari waktu haji sebelum Hari Raya haji, sama ada bersambungan mahupun berceraian, kemudian bila pulang ke negerinya, ia berpuasa sebanyak 7 hari lagi untuk mencukupkan 10 hari kesemuanya.
Larangan-larangan Haji
Adapun larangan haji dan umrah semuanya enam perkata:
• Memakai pakaian qamis, seluar, sepatu dan sarban. Pakaian yang haru dipakai waktu berihram ialah selembar kain untuk sarung dan selembar selendang dan sepasang sandal. Boleh memakai tali pinggang dan berteduh di bawah khemah, tetapi tak boleh menutup kepala. Kaum wanita boleh memakai pakaian yang berjahit, tetapi tidak boleh menutup wajah dengan sesuatu yang boleh menekapnya kerana ihramnya ialah pada wajahnya.
• Memakai wangi-wangian. Jadi hendaklah ia menjauhi segala yang dikatakan oleh ahli akal sebagai wangi-wangian. Kiranya dia melanggar larangan ini dan ia memakai wangi-wangian maka dia dikenakan bayaran Dam.
• Mencukur rambut atau memotong kuku, kerana melakukannya akan dikenakan Dam seekor kambing. Boleh memakai celak, mandi di permandian, bersuntil, berbekam dan menyikat rambut.
• Bersetubuh kerana yang demikian itu akan merosakkan haji pelakunya jika dilakukan sebelum tahallul awal. Kerana itu dia dikenakan Dam seekor unta atau lembu ataupun tujuh ekor kambing. Jika dilakukan sesudah tahallul awal dikenakan dam seperti di atas juga, hanya hajinya saja yang tidak rosak.
• Hal-hal yang berhubungan dengan permulaan persetubuhan, seperti bercium-ciuman atau bersentuh-sentuhan, sedangkan ia masih dalam ihram makan dendanya seekor kambing. Dalam keadaan serupa ini diharamkan juga bernikah dan menikahkan, jika dilakukan juga, maka tiadalah dikira sah dan tiada pula dihukunkan kena Dam.
• Membunuh buruan darat, yakni dari binatang yang boleh dimakan dagingnya. Jika dia membunuh seekor buruan, maka wajiblah ke atasnya Dam seekor binatang (kambing, lembu atau unta) yang besarnya lebih kurang sama dengan besarnya binatang yang dibunuhnya. Binatang laut tiada dilarang menangkapnya dan oleh itu tiadalah dikenakan Dam.

Peraturan kerja-kerja haji dari mula belayar hingga kembali.

Kerja-kerja lahiriah haji menurut peraturannya ada sepuluh bahagian:

BAHAGIAN PERTAMA: DALAM PERJALANAN

Dalam perjalanan untuk menunaikan haji, iaitu sejak keluar dari tumah hingga meniatkan ihram dengan haji ada beberapa perkara:

Mengenai kewangan:
• Pertama, hendaklah ia memulakan dengan bertaubat dan mengembalikan segala hak orang yang diambilnya secara penganiayaan dan membayar segala hutang piutang.
• Kemudian menyediakan pula nafkah atau perbelanjaan bagi sekalian orang yang wajib ditanggungnya sekiranya-kiran cukup, hingga waktu kembalinya dari perkerjaan ibadat haji. Dan hendaklah ia mengembalikan semua amanat-amanat orang yang disimpannya.
• Disunnatkan pula wang yang digunakan untuk perbelanjaan haji itu dari harta yang halal dan bersih dari segala syubhat.
• Hendaklah wang perbelanjaan itu mencukupi pergi balik, tanpa menyekat diri, sekira-kira dapat dibelanjakan secara leluasa dalam makan-minum, dan ada lebih pula untuk diberikan kepada orang-orang yang lemah dan fakir.
• Hendaklah ia bersedekah sekadarnya sebelum berangkat untuk ke haji. Kiranya dia menyewa kenderaan, maka sedekah itu sebaik-baiknya diberikan kepada orang yang menyewakan kenderaan itu sama ada sedikit mahupun banyak, agar ia mendapat keredhaan orang itu dalam perjalanannya nanti.
• Mengenai teman: Sebaik-baiknya ia mendapatkan seorang teman yang saleh, yang suka membuat kebajikan dan bersedia pula untuk menolongnya dalam membuat kebajikan jika ia terlupa. Apabila ia membuat kebajikan, teman itu akan membantunya. Apabila ia merasa takut akan ditanamkan padanya semangat keberanian. Apabial ia merasa lemah, akan digalakkannya supaya menjadi kuat. Begitu pula jika dadanya sempit akan dinasihatinya supaya bersabar.
• Sebelum berangkat hendaklah ia mengucapkan selamat tinggal kepada sekalian teman-temannya yang mengucapkan selamat jalan kepadanya. Begitu pula kepada saudara-maranya dan jiran tetangganya. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada mereka seraya memohon doa daripada mereka. Dalam mengucapkan selamat tinggal itu sunnat disebutkan begini: Aku mendoakan agar Allah melindungi agama, amanat dan segala pengakhiran amalanmu. Nabi s.a.w. mengucapkan kepada orang yang belayar dengan katanya: Mudah-mudahan anda sentiasa berada di dalam lindungan Allah dan pemeliharaanNya. Mudah-mudaham Allah akan menambahkan taqwamu, mengampunkan dosamu dan mengarahkan anda ke arah kebajikan di mana-mana anda berada.
• Sebelum keluar dari rumah, hendaklah terlebih dahulu dia bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu mengangkat kedua belah tangannya, seraya berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas, dengan melafazkan:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkaulah sebagai pengiring di dalam perjalanan dan sebagai pengganti di dalam menjaga keluarga, harta benda, anak-pinak dan sekalian rakan-teman, Peliharalah aku serta mereka sekalian dari segala bencana dan mara bahaya, Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya kami memohon perlindungan kepadaMu daripada jerih-jerih pelayaran, pertukaran nasib yang menyedihkan serta pemandangan yang menjelekkan terhadap keluaraga, harta benda dan anak pinak.”

• Ketika berdiri di pintu rumah, hendaklah dia berdoa pula: “Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Tuhanku! Aku bermohon perlindungan daripada menjadi sesat atau disesatkan daripada menjadi hina atau dihinakan, daripada menjadi penganiaya atau dianiayakan dan daripada menjadi bodoh atau dibodohkan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Sungguh aku ini berangkat bukan kerana kesombongan atau kecongkakan atau ria’ atau membanggakan diri, bahkan aku ini berangkat kerana menjauhkan diri dari kemurkaanMua untuk menuntut keredhaanMu dan menunaikan kewajibanMu serta menurut jejak langkah NabiMu!”
• Ketika dalam kenderaan dia berdoa pula: “Maha suci Allah telah menundukkan segala bagi kami, dan kami tiada mampu mengendalikannya untuk tunduk. Dan sesungguhnya kamu akan kembali juga kepada Tuhan kami.”

BAHAGIAN KEDUA: TERTIB IHRAM DARI MIQAT HINGGA MASUK KE MAKKAH

• Bermandi dengan meniatkan sunnat mandi kerana ihram yakni sebaik-baik saja sesudah ia sampai ke Miqat di mana orang haji meniatkan ihramnya. Hendaklah ia menyempurnakan mandinya dengan membersihkan semua anggota badan dari kotoran, menyisir janggut dan rambut, memotong kuku, memendekkan misai, pendekkata hendaklah ia mencukupkan segala macam kebersihan yang pernah kami sebutkan di dalam bab pembersihan dulu.
• Hendaklah ia meninggalkan pakaian yang terjahit dan hanya memakai dua lembar kain ihram yang putih selembar untuk dijadikan kain sarung dan selembar lagi untuk dijadikan selendang menutupi bahagian atas tubuhnya. Hendaklah ia memakai wangi-wangian pada baju dan badannya (sebelum meniatkan ihram --- pent.)
• Hendaklah ia bersabar sebentar sesudah memakai pakaian ihram tadi, sehingga kenderaannnya disiapkan dengan sempurna, jika ia kenderaan; ataupun menunggu sebentar kalau ia berjalan kaki. Dalam masa menunggu itum bolehlah ia meniatkan berihram dengan haji atau umrah, sama ada ifrad atau qiran, menurut apa yang digemarinya. Kemudian dia berdoa:
Bertalbiah
“Aku menyahutMu, wahai Tuhanku! Aku menyahutMU! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu!
Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu aku menyahutMu!

Dengan haji yang benar-benar penuh dengan peribadatan dan perhambaan.
Bersolawat
Ya Allah! Ya Tuhanku Berikanlah kerahmatanMu ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.

Sunnat diulang-ulang talbiah (doa di atas) selagi ia masih dalam pakaian ihram, terutama sekali ketika bertemu dengan sahabat-handai atau hadir dalam majlis orang ramai, ketika mendaki sesutau tempat atau turun daripadanya, ketika naik-turun kenderaan dengan mengangkat suaranya sekira-kira tidak kesat kerongkongannya, sebab Tuhan yang diseru itu bukanlah bersifat pekak atau tidak ada.

Rasulullah s.a.w. apabila terpesona dengan sesuatu perkara baginda akan berkata:

“Sesungguhnya hidupan yang sebenar itu ialah kehidupan di Akhirat.”

BAHAGIAN KETIGA: TERTIB MASUK KOTA MAKKAH HINGGA MELAKUKAN TAWAF:

Disunatkan bermandi di tempat yang bernama Dzi Thuwan kerana memasuki Kota Makkah. Apabila terlihat saja olehnya baitullah (Ka’bah) hendaklah ia berdoa:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkau adalah Maha sejahtera, daripadaMu datangnya kesejahteraan dan rumahMu adalah

Rumah Kesejahteraan Maha Berkat Engkau, wahai Zat yang Maha Memiliku Keanggungan dan Kemuliaan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya ini adalah rumahMu, Engkau telah membesarkanya, memuliakannya dan meninggikan darjatnya. Ya Allah! Ya Tuhanku! Maka tambahkanlah baginya kebesaran dan kemuliaan dan tambahkanlah baginya kebesaran dan kemuliaan dan tambahkanlah baginya kehebatan dan tambahkanlah bagi sesiapa yang berhaji kepadanya kebaikan dan kemuliaan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu, masukkanlah aku kedalam syurgaMu dan jauhkanlah aku dari bencana syaitan yang terkutuk.”

Sesudah membaca doa itu, teruslah ia pergi untuk melakukan tawaf. Tawaf ini dinamakan Tawaful-Qudum. (Jika hajinya ifrad atau qiran – pent.). Jika ia dapati orang ramai sedang mengerjaka sembahyang fardhu maka hendaklah ia bersembahyang dengan mereka dulu kemudian braulah ia bertawaf.




BAHAGIAN KEEMPAT: MELAKUKAN TAWAF:

Apabila mahu memulakan tawaf, sama ada Tawaful-Qudum ataupun tawaf selainnya, maka hendaklah ia memperhatikan enam perkara yang berikut:

• Hendaklah ia memerhatikan syarat-syarat sembahyang, seperti membersihkan diri dari hadas dan najis pada pakaian, badan, tempat tawaf dan mesti seperti sembahyang, hanya bedanya Allah s.w.t. telah mengharuskan bercakap-cakap ketika di dalam tawaf itu.
• Apakala mahu bertawaf, hendaklah ia meletakkan pertengahan selendangnya di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujung selendang itu ditemukan di atas bahu kiri, satu hujung dilepaskan berjuntai ke dada.
• Dalam bertawaf dia tiada payah lagi membaca talbiah bahkan hendaklah ia membaca doa-doa yang khas untuk dibaca tawaf.
• Sesudah menyelempangkan selendangnya menurut cara di atas tadi, maka ia menuju kearah Baitullah lalu berdiri di penjuru Hajarul-Aswad, mengiringkan dirinya ke arah Baitullah tetapi hendaklah ia ke belakang sedikit supaya ke arah Hajarul Aswad itu benar-benar di hadapannya sehingga apabila ia memulakan tawaf nanti ia yakin akan melalui di hadapan Hajarul Aswad itu dengan seluruh badannya.
• Begitu juga hendaklah di antara dirinya dengan Baitullah itu kadar jarak tiga langkah, supaya berada dekat dengan Baitullah kerana yang demikian itu adalah lebih utama.

Sebelum ia memulakan tawaf dan beredar dari arah Hajarul Aswad mengelilingi Baitullah hendaklah ia membaca:
“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Tuhanku! Penuh keimanan denganMu, mempercayai kitabMu, memenuhi janjiMu dan menurut perjalanan NabiMu Muhammada s.a.w.”

• Lalu dia pun bertawaflah seterusnya.Hendaklah ia berjalan dengan kadar yang cepat dalam tiga pusingan yang pertama, manakala dalam empat pusingan yang akhir itu ia berjalan secara biasa saja. Maksud dari berjalan cepat di sini ialah berlari-lari anak atau berjalan antara berlari dan berjalan biasa dengan merapatkan langkah-langkahnya. Tujuan melakukan ini dan meletakkan selendang di dada itu, ialah menunjukkan ketangkasan kekerasan dan kekuatan. Inilah tujuan yang mula-mula dilakukan dulu, iaitu untuk melemahkan semangat orang-orang kafir yang melihatnya dan hingga kini pula menjadi sunnat bagi kaum Muslimin.
• Yang utamanya, hendaklah ia berlari-lari anak itu berdekatan dengan Baitullah. Jika tak boleh kerana ramainya manusia, maka berlari-lari anak itu jauh sedikit pula lebih utama. Untuk berlari-lari anak sebanyak tiga kali itu tidak mengapalah ia di jarak yang jauh sedikit dari lingkaran tempat tawaf itu. Kemudian ia mendekati Baitullah dalam himpunan orang ramai itu, dan ia pun berjalan seperti biasa saja sebanyak empat kali lagi.
• Jika boleh menerima (untuk mencium) Hajarul Aswad bada tiap-tiap taawf atau pusingan. Itulah yang lebih utama baginya, Tetapi jika ia terhalang oleh ramainya manusia di situ, maka cukuplah ia mengisyaratkan dengan tangan saja, lalu mencium tangan itu. Begitulah pula sunnat menerima penjuru yang dinamakan rukun Yamani dari lain-lain penjuru yang lain.
• Apabila selesai tawaf tujuh kali, hendaklah ia pergi ke Multazam iaitu tempat di antara Hajarul Aswad dan pintu Ka’bah. Di tempat itu segala doa akan mustajab atau dikabulkan. Sebelum berdoa di situ, hendaklah ia meletakkan badannya ke Baitullah dan bergayut pada tabir-tabir Ka’bah, dbiarkan perutnya bertempel di situ pipi kanannya tersentuh pada dindingnya kedua belah lengan dan tapak tangannya dibeberkan kemudian barulah dia berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku1 Wahai Tuhan Runah Ka’bah yang tua, merdekakanlah leher hambaMu ini daripada api neraka. Ya Allah! Ya Tuhanku! Ini keadaan hamba yang meminta perlindungan denganMu daripada api neraka”

• Kemudian hendaklah ia memohon segala keperluannya yang khas di situ, dan jangan lupa pula memohon keampunan daripada dosa-dosanya.
• Apabila selesai melakukakn semua itu, sebaik-baiknya ia bersembahyang dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, iaitu dua rakaat tawaf: Sesudah dua rakaat tawaf dia berdoa pula:

• “Ya Allah! Ya Tuhanku! Permudahkanlah bagiku segala yang mudah, dan jauhkanlah daripadaku segala susah dan ampunilah aku pada masa yang akan datang dan masa yang lalu.”

BAHAGIAN KELIMA: TERTIB MELAKUKAN SA’I

Apabila selesai melakukan tawaf, hendaklah ia keluar dari Babu-Shafa (Pintu Shafa), terus menuju ke Bukit Shafa, lalu mendaki kaki bukit itu. Dari situlah ia memulakan Sa’inya antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Sebelum itu hendaklah ia bersuci (berwudhu’) terlebih dulu, kerana bersuci ketika bertawaf.

BAHAGIAN KEENAM: TERTIB WUKUF DAN SEBELUMNYA.

Seorang haji yang telah berada di Arafah di Hari Arafah tidaklah perlu melakukan Tawaful-Qudum dan memasuki Makkah dulu sebelum selesai wukufnya di Arafah itu. Jika ia sampai di Arafah beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia membuat Tawaful-Qudum dulu, kemudian ia pun tetap dalam ihramnya beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia membuat Tawaful-Qudum dulu, kemudian ia pun tetap dalam ihramnya, hingga hari ketujuh dari Zulhijjah. Pada hari itu, Imam akan berpidato di Makkah selepas sembahyang zohor di Ka’bah, seraya memberitahu orang ramai agar bersiap sedia untuk berangkat ke Mina pada Hari Tarwiah (8 Zulhijjah) dan bermalam di situ. Pada paginya berangkat pula ke Arafah untuk menunaikan fardhu wukuf di sana, iaitu selepas tergelincir matahari. Waktu wukuf itu bermula dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijjah berterusan hingga terbitnya Fajar Sadiq dan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah).
Dalam masa berangkat ke Mina, hendaklah ia memperbanyakkan talbiah, lalu tidur malam iti di Mina. Pada hari esoknya yakni Hari Arafah sesudah bersembahyang sebuh di sana, barulah berangkat ke Arafah; iaitu setelah matahari terbit di senalik bukit. Hendaklah ia mandi terlebih dulu sebelum wukuf dan menjamakkan kedua-dua sembahyang zohor dan asar dengan satu azan dan du iqamah dan kedua-dua sembahyang itu hendaklah ditunaikan dengan qashar.
Di Arafah itu hendaklah ia memperbanyakkan pada sebutan berbagai-bagai tahmid (puji-pujian), tasbih dan tahlil, memuji Allah azzawajalla dan berdoa serta bertaubat kepada Allah. Janganlah hendaknya ia berpuasa pada hari itu, supaya ia kuat untuk meneruskan segala amalan-amalan ini dan berdoa. Janganlah berhenti dari membaca apa saja yang dipandang perlu, sambil memperbanyakkan istighfar (minta ampun) bagi dirinya dan kedua ibubapanya serta sekalian kaum Muslimin dan Muslimat. Dalam berdoa itu hendaklah ia bersungguh-sungguh bermohon dan membesarkan permintaannya itu sebab pada sisi Allah tiada sesuatu pun yang dianggap besar, semuanya boleh dikabulkan jika Dia mahu.

BAHAGIAN KETUJUH: TERTIB PEKERJAAN HAJI YANG LAIN.
• Apabila matahari Hari Arafah terbenam, hendaklah ia keluar dari Arafah dengan penuh tertib dan tenang, sehingga apabila sampai saja di Muzdalifah, ia pun bersembahyang qashar dan jamak antara maghrib dan isya’ pula, dengan satu azan dan dua iqamat seperti yang dibuat sebelumnya.
• Di Muzdhalifah ia mengutip sebanyak 70 butir batu kecil dan ringan untuk keperluan melempar jamrah nanti. Kemudian ia bermalam pula di Mina pada malam itu.
• Sembahyang subuh pada hari itu, hendaklah ditunaikan leboh awal sedikit. Sesudah itu, mulalah ia melangkah menuju Masy’aril Haram, iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ Haram iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ ia berdiri sambil terbit matahari hingga sampai suatu tempat yang dipanggil “Wadi Muhassir”. Maka hendaklah ia mempercepatkan gerakan kenderaannya, sehingga dapat mengelilingi Lembah Wadi Muhassir tadi. Jika ia berjalan kaki, hendaklah ia mempercepatkan juga perjalanannya.
• Apabila matahari Hari Raya telah terbit, hendaklah ia membaca talbiah dengan takbir Hari Raya beriringan-iringan, yakni sekali masa dia bertabiah dan sekali masa lagi dia bertakbir, sehinggalah ia sampai di Mina semula, di tempat-tempat melempar jamrah yang tiga itu. Pada Jamratul-Ula (Jamrah Pertama) dan Jamratus-Tsaniah, (Jamrah Kedua) tidak ada apa-apa yang wajib dilakukan pada Hari Raya itu, jadi sunnat hanya melaluinya saja sehingga sampai ke Jamratul-Aqabah ini dengan sebanyak tujuh butir batu, mengangkat tangannya dengan menghadap ke arah kiblat atau ke arah jamrah tersebut, sambil membaca pada setiap batu yang mahu dilemparkan itu begini:

“Allah Maha Besar, Kulakukan ini kerana taat kepada Tuhan ar-Rahman dan menolak tipu daya syaitan. Ya Allah! ya Tuhanku! Kulakukan ini kerana mempercayai kitabMu dan menurut perjalanan NabiMu.”

• Kemudian ia menyembelih pula korbannya, jika ada korban. Sebaik-baiknya korban itu disembelih oleh tuan punya korban itu sendiri seraya membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Allah! Ya Tuhanku! Korbanku ini sebenarnya daripadaMu dan atas namaMu aku mengorbankannya dan kepadaMu pula kembalinya korbanku ini. Terimalah ia daripadaku sebagaimana Engkau menerimanya daripada kekasihMu Ibrahim.”

• Adapun korban itu diutamakan dengan unta, kemudian lembu, kemudian kambing jenis biri-biri lebih utama dari kambing biasa, yang putih lebih utama dari yang kelabu atau hitam. Dia boleh memakan dagingnya jika korban tathawwu’, yakni bukan wajib. Dan janganlah hendaknya ia menyembelih korban dari binatang yang tempang, yang cacat seperti terpotong telinga atau kurus badannya.
• Sesudah selesai berkorban, barulah ia menggunting rambut. Sebaik-baik selesai pula bergunting dan melempar jamrah maka berhasillah baginya tahallul awal dan dengan itu halallah baginya semua larangan-larangan yang tersebut tadi, kecuali bersetubuh dengan isteri dan akd nikah.
• Kemudian bolehlah ia pergi ke Mekah untuk bertawaf menurut cara-cara yang telah diterangkan sebelum ini. Tawaf ini ialah tawaf rukun Haji, dinamakan tawaf Ziarah, bermula waktunya dari tengah malam Hari Raya Haji tetapi lebih utama dilakukan pada Hari Raya itu sendiri. Dia tiada boleh bersetubuh dengan isteri, melainkan sesudah melakukan tawaf ini. Apabila selesai tawaf ini, maka halallah baginya persetubuhan dengan isteri serta terangkatlah semua larangan-larangan yang lain. Sekarang semua kerja-kerja haji telah selesai hanya tinggal lagi ialah melempar batu pada hari-hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah – pent) dan bermalam di Mina. Semua ini merupakan kewajiban yang mesti ditunaikan sesudah selesai ihram menurut peraturan-peraturan haji.

Adapun sebab-sebab tahallul ialah tiga perkara:

• Melempar batu di Jamrah
• Mencukur rambut
• Membuat tawaf Rukun Haji

Jika orang haji telah melakukan dua dari tiga perkara di atas itu, maka ia telah beroleh tahallul awal. Sebenarnya tiadalah menjadi salah kalau yang satu didahulukan dan yang lain dikebelakangkan di antara ketiga-tiga perkara itu daripada penyembelihan korban, tetapi yang sebaik-baiknya ia melempar jamrah dulu, kemudian menyembelih dan sesudah itu barulah bercukur dan bertawaf.

Apabila selesai bertawaf ia kembali lagi ke Mina untuk bermalam di sana dan melempar jamrah pada hari-hari berikutnya. Jadi hendaklah ia bermalam di Mina pada malam itu, dan pada paginya iaitu hari kedua dari Raya haji setelah tergelincir matahari ia mandi sunnat kerana melempar jamrah. Lalu menuju ke tempat Jamratul-Ula sambil melempar sebanyak tujuh butir batu. Selesai melempar, hendaklah ia berdiri menghadap kiblat, seraya memuji Allah Ta’ala dengan bertahlil dan bertakbir, dan seterusnya berdoa dengan hati yang hadir dan segala anggota penuh khusyu’ dan khudhu’. Kemudian bergerak pula ke Jamratul Wusta dan melempar lagi tujuh butir batu, seperti yang dibuat pada Jamratul-Ula tadi; selesai melempar ia berdoa pula seperti yang dilakukan sebelumnya. Kemudian bergerak pula ke Jamratul –Aqabah dan melakukan sama seperti sebelumnya juga.

Selesai melempar, kembalilah ia ke rumah dan bermalam di Mina pada hari itu. Esoknya setelah menunaikan sembahyang zohor pada hari tasyrik yang kedua, pergilah ia sekali lagi pada ketiga-tiga jamrah, lalu melempar lagi seperti yang dilakukan pada hari semalamnya, yakni melempar lagi pada tiap-tiap satu jamrah tujuh butir batu; jadi jumlah lemparan kesemuanya ialah 21 butir batu.

Sesudah selesai melempar pada hari tasyrik kedua ini, dia diberi pilihan sama ada mahu terus tinggal di Mina semalam lagi ataupun kembali ke Makkah. Jika ia memilih meninggalkan Mina maka mestilah dilakukannya sebelum matahari terbenam sedangkan ia masih berada di Mina, maka tiadalah dibolehkan keluar lagi wajib menetap di Mina semalam lagi. Hingga ke hari esoknya dan tiada boleh keluar melainkan sesudah melempar sebanyak 21 butir batu lagi, seperti hari sebelumnya.

Meninggalkan tidur atau bermalam di Mina mewajibkan pengeluaran dam. Tetapi jika ia ingin menziarahi Ka’bah pada malam hari dibolehkan hanya dengan syarat mestilah ia kembali tidur di Mina. Hendaklah jangan sampai ia tertinggal sembahyang fardhu bersama-sama Imam di Masjidil-Khaif, kerana kelebihan bersembahyang berjemaah di situ amatlah besar pahalanya.

BAHAGIAN KELAPAN: CARA-CARA UMRAH HINGGA TAWAFUL WADA`.

Orang yang ingin mengerjakan umrah sebelum berhaji atau sesudahnya, mula-mula hendaklah ia mandi sunnat dan memakai pakaian ihram, dan seterusnya melakukan seperti cara-cara dia melakukan pada haji, sebagaimana yang telah ditunjukkan cara-cara sebelum ini. Sesudah itu hendaklah ia, berihram atau meniatkan umrah dari miqatnya. Seterusnya bertalbiah, sembahyang dua rakaat dan berdoa apa saja yang dikehendakinya. Kemudian menuju ke Mekiah dengan bertalbiah di sepanjang jalan, sehingga sampai ke Masjidil Haram. Sesudah masuk ke dalam Masjidil-haram, dia berhenti dari bertalbiah seraya melakukan tawaf tujuh kali berkeliling Ka’bah, sebagimana yang ditunjukkan mengenai tawaf haji sebelum ini. Selesai bertawaf, lalu bersa’I pula, kemudian dia bercukur. Dengan itu sempurnalah pekerjaan umrahnya itu.
Orang yang tinggal di Makkah, sewajarnya memperbanyakkan perkerjaan umrah dan tawaf. Hendaklah ia meminum air zam-zam seberapa banyak, hingga kenyang dan puas.

BAHAGIAN KESEMBILAN: TAWAFUL-WADA`.

Apabila seseorang haji itu telah berniat mahu kembali ke negerinya sesudah selesai menunaikan semua amalan hajinya, atau amalan umrahnya, terlebih dulu hendaklah ia menyelesaikan semua urusan yang bersangkutan di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk berangkat di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk berangkat pula, sehingga apabila semua urusan-urusan ini telah selesai, barulah dia mengerjakan kerja yang terakhir, iaitu Tawaful-Wada’ atau tawaf selamat tinggal. Tawaful-Wada` ini dilakukan sama seperti tawaf-tawaf yang lain, hanya tiadalah ia bercepat-cepat atau berjalan perlahan-lahan, bahkan semuanya dilakukan dengan langkah-langkah yang sama belaka dalam tujuh kali keliling itu.
Selesai saja tawaf selamat tinggal ini, hendaklah ia solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, kemudian meminum pula air zamzam. Kemudian dia pergi ke Multazam, lalu berdoa dengan sepenuh khusyu’ dan khudhu’ dengan doa berikut:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Peliharalah kesihatan tubuh badanku, dan keselamatan agamaku, dan perbaikkanlah tujuan hatiku serta kurniakanlah aku ketaatan kepadaMu sepanjang umur yang Engkau tetapkan bagiku. Saingkanlah bagiku kebaikan dunia dan akhirat, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”

BAHAGIAN KESEPULUH: ZIARAH KE MADINAH DAN TERTIBNYA

Barangsiapa yang menuju ke Madinah kerana tujuan berziarah, maka hendaklah ia memperbanyakkan selawa ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. di sepanjang perjalanannya ke sana. Sebelum masuk berziarah Nabi, sewajarnya dia mandi terlebih dulu, kemudian memakai sebersih-bersihnya pakaian dan memakai wangi-wangian.
Apabila masuk ke dalam masjid hendaklah bersikap merendah diri dengan penuh penghormatan, terus menuju ke minbar lalu bersembahyang dua rakaat di sisi minbar itu. Kemudian ia pergi pula ke Maqam Nabi s.a.w. sambil berdiri menghadapnya dengan membelakangkan kiblat dan berhadapan dengan dinding maqam itu lebih kurang sejarak empat hasta dari tiang-tiang yang ada berdekatan dengan dinding di situ .. Yang patut di buat hanya berdiri saja dari jauh, kerana yang demikian itu adalah lebih baik untuk memberikan penghormatannya. Setelah berdiri lalu memberi salam:
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai Rasulullah!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Allah!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhaikepercayaan Allah!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi kesayangan Allah!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai pilihan Allah!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai Abul Qasim!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai penghulu para Rasul!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai penutup para Nabi !
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai pengutus Tuhan Semesta Alam!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai pemimpin kebaikan!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai pembuka segala kebajikan!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Rahmat!
• Salam sejahtera ke atasmu, duhai petunjuk ummat!
• Salam sejahtera ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu dan para sahabatmu yang baik-baik.
Mudah-mudahan Allah akan memberikan kepadamu sebaik-baik balasan yang pernah diberikan kepada seorang Nabi daripada kaumnya, dan kepada seorang rasul daripada ummatnya. Moga-moga Allah merahmatimu dengan setinggi dan sempurna salawatnya yang tiada pernah dianugerahkanNya kepada seseorang pun dari makhlukNya. Begitu pula kami berlindung diri denganmu daripada kesesatan, memelihara pemandangan kami dari kebutaan dan menjaga petunjuk yangada pada kami dari kebodohan. Aku bersaksi bahawasanya engkau telah pun menyampaikan perutusan, engkau telah tunaikan amanat, engkau telah menasihatkan ummat, engkau telah menentang musuhmu, engkau telah menunjuki ummatmu, engkau telah menyembah Tuhanmu, sehingga tiba kepadamu keyakinan moga-moga Allah memberikan rahmatNya ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu yang baik-baik, juga memberikan keselamatan keutamaan kemuliaan dan kebesaran.

Sesudah itu dia berundur sedikit kira-kira sehasta, lalu memberi salam kepada Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Kemudian berundur lagi kira-kira sehasta memberi salam pula kepada Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. Pada kedua-duanya, dia berkata:

“Salam sejahtera ke atas kamu kedua, wahai Menteri-menteri Rasulullah s.a.w dan pembanatu-pembantunya untuk mendirikan agama sewaktu hayatnya dan orang-orang yang mengambil berat terhadap ummatnya dalam urusan-urusan agama sesudah kepergiannya. Kamu kedua telah menurut jejak langkahnya, dan berbuat dengan sunnatnya (perjalanannya), moga-moga Allah membalas kamu kedua dengan balasan paling layak diberikan kepada dua Menteri Nabi yang melindungi agamaNya.

• Kemudian dia beredar pula ke Raudhah untuk bersembahyang dua rakaat di situ dan hendaklah memperbanyakkan berdoa seberapa boleh,
• Setelah itu,, baik baginya mengunjungi Bukit Uhud dan menziarah maqam-maqam para syuhada di situ.
• Juga baik baginya menziarahi Baqi’ (Perkuburan Madinah) serta menziarahi maqam orang-orang yang termulia di situ.
• Kalau boleh setiap hari Sabtu, dia pergi pula ke Masjid Quba’ untuk bersembahyang di sana,
• Jika boleh tinggal di Madinah dengan menjaga perkhidmatan di situ, adalah pahalanya besar sekali.
• Sesudah itu bila ingin meninggalkan Kota Madinah, sunnat baginya mendatangi sekali lagi Maqam Rasulullah s.a.w yang mulia dan mengulangi doa yang dibaca waktu mula-mula ia berziarah dulu, dan jangan lupa pula berdoa kepada Allah meminta agar dapat kembali semula ke Madinah.
• Kemudian dia bersembahyanglah dua rakaat di Raudhah.
• Apabila keluar dari Raudhah, hendaklah dimulakan langkahnya dengan kaki kiri kemudian kanan, dan akhir sekali.
• Sebelum meninggalkan Kota Madinah itu, hendaklah ia bersedekah kepada jiran-jiran Rasulullah s.a.w di situ dengan kadar yang termampu.

Sunnat-sunnat kembali dari pelayaran.

Dalam perjalanan pulang setiap kali bertemu dengan tanah tinggi, hendaklah dia bertakbir tiga kali dengan berkata:

“Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan segala puji-pujian dan Dia adalah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kami sekalian dalam keadaan kembali kepada Allah bertaubat kepadaNya, menyembahNya, sujud kepadaNya serta memuji-mujiNya”.

Apabila telah hampir sampai ke negerinya, hendaklah melambatkan kenderaannya, lalu mengirim seorang untuk memberitahukan keluarganya akan kedatangannya, agar mereka tiada terperanjat dengan kedatangannya secara tiba-tiba saja. Janganlah hendaknya dia mendatangi keluarganya di sebelah malam bila sampai di waktu malam.

Apabila sampai saja di negerinya mula-mula hendaklah ia menuju masjid untuk bersembahyang dua rakaat. Kemudian apabila telah sampai di rumahnya, sayugialah jangan sampai melupakan segala nikmat-nikmat yang telah dikurniakan Allah kepadanya daripada menziarahi haramnya;* iaitu Makkah dan Madinah dan menziarahi juga maqam (kubur) Nabi Besar Muhammad s.a.w.

* Haram: Dengan dibaca ra’nya pendek sedikit, bererti Tanah Suci Makkah dan Madinah yang telah terpelihara daripada segala kekotoran.

Tanda mengkufuri nikmat ini atau melupakannya, ialah dengan ia kembali semua kepada kelalaian dan mengikut hawa nafsu serat semakin suka membuat maksiat-maksiat, kerana itu bukanlah tandanya haji mabrur atau haji yang diterima oleh Allah Ta’ala. Bahkan tandanya haji yang diterima itu, ialah dengan semakin cenderung hatinya dan gerak-kerinya kepada amalan-amalan akhirat serta meyiapkan diri untuk menemui Tuhan yang memiliki Rumah Allah; iaitu Ka’bah setelah baru saja bertemu dengan RumahNya itu.

Tertib kesopanan dan amalan-amalan kebatinan.

Tata-tertib kesopanan yang khas dalam amalan haji itu ada tujuh perkara:

• Pertama: Hendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah Ta’ala saja dan kerana membesarkan syiar-syiarNya. Orang yang menghajikan orang lain, hendaklah berniat bagi dirinya Baitullah Ta’ala dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan Fardhu Haji yang wajib ke atasnya, bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual amalan akhirat. bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk mencapai tujuan agama, yakni dapat berhaji dan berziarah sekaligus.
• Kedua: meluaskan persediaan dalam makan-minum dan murah hati dalam membuat budi dan membelanjakan harta dengan bersedekah tidak terlalu lokek ataupun telalu boros, tetapi dengan sedeharhana saja menurut cara orang yang beriktisad. Membelanjakan wang dalam makan-minum kerana tujuan hai adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah azzawajalla, tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibnu Umar berkata: Tanda-tanda murah hati manusia ialah memewahkan makan-minumnya dalam pelayaran.
• Ketiga: Meninggalkan rafats, fusuq dan jidal, iaitu denga nas al-Quran al-Karim. Rafats: ialah kata-kata sia-sia yang tidak ada faedahnya ataupun cakap-cakap kotor, termasuk bergurau senda dengan kaum wanita dan bermain-main dengan mereka atau berbual-bual mengenai jimak (persetubuhan) atau cumbu-cumbuan, kerana semua itu akan memberangsangkan kepada melakukan perbuatan itu sedangkan ini dilarang dalam masa berihram dengan haji atau umrah. Tegasnya memberangsangkan untuk melakukan yang dilarang adalah ditegah. Fusuq: ialah segala macam perbuatan yang boleh menarik manusia terkeluar dari mentaati Allah azzawajalla. Dan akhir sekli jidfal, iaitu berlebih-lebihan dalam permusuhan atau perselisihan yang membawa kepada hasad benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang luhur. Janganlah hendaknya dia terlalu membangkang sangat terhadap teman-teman seperjalananya ataupu tukang-tukang kenderaan.* dan sahabat-sahabat yang lain.

Dulu ketua yang memimpin Kafilah Haji. Sekarang bolehlah diambil tempatnya oleh Syaikh Haji. Dalam pada itu, jangan pula Syaikh Haji membuat kesempatan untuk menindas para haji itu dengan adanya rukhshah ini – pent
• Bahkan sebaik-baiknya, hendaklah ia berlemah-lembut kepada mereka dan merendahkan diri kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu.
• Hendaklah ia sentiasa berbudi pekerti tinggi dan berbudi pekerti tinggi itu bukanlah hanya menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain saja, bahkan sanggup bersabar dan menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti diri sendiri.
• Hendaklah ia meninggalkan pakaian orang-orang yang boros dan takabbur, jangan sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjukkan diri, niscaya ia akan terkira di dalam golongan orang takabbur dan terkeluar pula dari kumpulan orang yang saleh. Tersebut di dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya orang haji itu ialah orang yang serembah-serembih (iaitu orang yang tidak selalu mempersolekkan diri).”

Allah telah berfirman:

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan keadaan diri mereka.”

Serembah-serembih atau tidak mementingkan kebersihan diri itu disebabkan penumpuan amalan haji, dan membersihkannya dengan bercukur, memendekkan misai dan memotong kuku.

• Kelima: Hendaklah ia menaruh belas kasihan terhadap binatang dan jangan membebankannnya barang-barang yang terlalu berat, sehingga tiada tertahan baginya untuk menanggung. Jangan juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah sekali-kali ia turun dari belakangnya untuk menunjukkan timbang rasanya terhadap binatang itu.
• Keenam: Hendaklah ia mendekatkan diri kepada Allah dengan mengalirkan darah (menyembelih kerana korban), meskipun tidak wajib ke atasnya. Bila berkorban hendaklah memilih binatang yang gemuk dan yang berharga. Dia boleh memakan dagingnya, jika ia berkorban Tathawwu’ (korban sukarela). Maksud dari pengorbanan itu bukanlah dagingnya, tetapi untuk membersihkan diri dan mensucikannya dari sifat kikir dan menghiaskannya dengan keindahan pentakziman Allah azzawajalla. Allh berfirman:

“Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya (korban) atau darahnya, akan tetapi yang akan sampai kepada Allah ialah taqwa kamu.” (al-Haj:37)

• Ketujuh: Hendaklah segala yang dibelanjakannya itu dari jiwa yang suci murni, sama ada merupakan perbelanjaan mahupun korna dan ia redha atas segala kerugian dan kecelakaan pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kesusahan yang diterimanya aatau kerugian yang mengenainya akan dibalasa dengan pahala tiada suatu pun yang bakal hilang di sisi Allah kelak. Ada yang berkata bahawa tanda-tanda kabulnya haji seseorang itu ialah meninggalkan segala yang ada pada dirinya dari maksiat-maksiat. Dan ia akan menukarkan rakan-rakan yang jahat dengan rakan-rakan yang saleh dan menukarkan tabiat suka berlabun-labun dalam kumpulan-kumpulan orang yang bersenda-gurauan dan lalai kepada majlis-majlis bersikir terhadap Allaah Ta’ala dan mempunyai kesedaran diri.

Amalan haji yang batin, rahsianya dan tujuannya.
Boleh dikatakan pada setial amalan haji itu ada peringatan bagi orang yang ingin mengambil ingatan daripanya, dan contoh tauladan bagi orang yang ingin mengambil ibarat. Apabila terbuka saja pintunya akan tersingkaplah segala rahsia dan muncullah perkara-perkara yang diperlukan untuk mensucikan hati disamping memperkuatkan fikiran. Allah s.w.t. telah memuliakan al-Baitul atiq (Ka’bah) di samping ZatNya yang agung dan menentukan Rumah Suci itu sebagai tempat tujuan untuk sekalian hamba-hambaNya. Kemudian dijadikan pula tanah-tanah di sekitarnya sebagai tanah haram yang suci bagi rumahNya untuk menandakan kebesaran dan kesucian tempat itu. Lalu dikuatkan lagi perkaranya dengan mengharamkan binatangnya dari diburu dan pohon-pohonnya dari dipotong. Dijadikan rumah itu sebagai balai persembahan raja-raja yang didatangi oleh para penziarah dari segala rantau yang jauh, dan dari arah yang terpencil, dalam keadaan kusut-masai, tidak teratur merendahkan diri kepada Tuan punya Rumah Suci itu, semata-mata kerana menghinakan diri terhadap keagunganNya, dengan pengakuan untuk menjauhkan ZatNya daripada dikelilingi oleh sesebuah rumah atau dilingkari oelh sesebuah negeri, agar yang demikian itu menjadi lebih tepat dalam perhambaan dan ubudiah mereka terhadap Allah Ta’ala dan menjadi lebih sempurna dalam menundukkan mereka dan menarik mereka untuk menurut.

• Ketika berihram dan bertalbiah terdapat penyahutan terhadap seruan Allah azzawajalla.
• Ketika masuk Makkah terdapat peringatan tentang ketibaan ke Haram Allah, maka hendaklah ia merasa bimbang kalau-kalau ia bukan ahli yang boleh mendekatkan diri ke situ, dan hendaklah ia berharap rahmat Allah.
• Ketika melihat Rumah Suci akan mengingatkan kebesaran Rumah itu di dalam hati dan meletakkan penuh harapan untuk dapat melihat Allah, Tuhan kepada Rumah Suci itu, kerana perasaan mengagungkan yang timbul dalam hati terhadap Rumah itu.
• Ketika bertawaf mengelilingi Rumah Allah itu sepatutnya ia merasakan dirinya seperti para Malaikat Muqarrabin yang sentiasa berada di sekitar Arasy Allah Ta’ala dan sedang bertawaf di sekelilingnya. Seterusnya maksud dari bertawaf itu bukanlah tawafnya tubuh badan yang kasar, malah tawafnya hati sanubari dengan mengingat kepada Tuhan.
• Ketika bergayut pada tabir-tabir Ka’abah dan melekapkan tubuh di al-Multazam, melambangkan permintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. kerana kecintaan dan perasaan rindu kepada Rumah Allah itu dan Tuan Punya Rumah tersebut dan mengambil keberkatan dengan berdekatan dan bersentuhan itu. Seterusnya untuk mengulang sekali lagi permintaan keampunan dan keamanan dari Allah Ta’ala, laksana seorang yang banyak dosanya sedang berpaut pada baju orang yang berdosa kepadanya, mengharapkan dengan penuh rendah diri akan keampunannya, seraya menunjukkan bahawa tiada tempat lain yang ia boleh berlindung lagi, melainkan kepada orang itu saja. Jadi dia tiada akan melepaskan orang itu, walau bagaimana sekalian melainkan sesudah mendapat keampunan dan keredhaan darinya.
• Ketika Sa’I antara Shafa dan Marwah, melambangkan betapa seseorang hamba itu sentiasa dalam kebimbangan tentang kemusnahan harta miliknya, dengan berulang kali pergi dan kembali untuk menunjukkan keikhlasan dan perkhidmatannya, sambil mengharapkan perhatian Tuhan dengan pandangan penuh rahmat dan belasa kasihan, laksana seorang rakyat biasa yang datang untuk menghadap raja, kemudian keluar semula, sedangkan dia tiada mengetahui apa yang akan diputuskan oleh raja itu terhadap permohonannya sama asa dikabulkannya atau ditolaknya. Maka orang tersebut terus berulang alik di halaman Istana raja itu pergi dan kembali, membawa harapan agar ia akan dirahmati oleh Raja dan dibelas kasihaninya pada kali ini, kiranya sebentar tadi permohonannya telah ditolak.
• Ketika menyempurnakan wukuf di Arafah dengan melihat manusia begitu ramai sekali, yang telah berkumpul dengan suara yang dilaungkan dalam berbagi bahasa dunia, akan mengingatkan tentang perkumpulan semua ummat nanti di padang yang amat luas di Hari Kiamat. Hal Keadaan di situ tentu akan membingungkan semua manusia di sebidang tanah yang terbentang luas itu; masing-masing memikirkan tentang amalannya sendiri, sama ada ditolak atau dikabul. Bila teringat terhadap segala peristiwa yang akan berlaku di hari itu nanti, tentulah hati akan menjadi kecut, sentiasa akan memilih kerendahan diri dan berserah sepenuhnya kepada Allah azzawajalla. Juga ia akan mengharapkan moda-moga akan dikumpulkan di Hari Mahsyar nanti ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan dirahmati, manakala keyakinannya kuat sekali, bahawa segala yang diharp-harapkan itu akan dikabulkanNya. Tiada syak lagi, kerana tempat itu amat mulia sekali. Kerahmatan itu biasanya datang dari hadrat yang Maha Besar kepada sekalian manusia, melalui hati yang bersih, manakala di tempat itu tentu sekali tidak kurang banyaknya para Salihin dan orang-orang yang mempunyai hati nurani yang suci, menurut tingkatan-tingkatan mereka. Mereka sekalian telah berkumpul dengan satu tujuan, iaitu untuk menundukkan diri kepada Allah yang Maha Agung dan membersihkan hati mereka dari segala sesutau selain memohon dan mengharap dengan mengangkat tangan kepada Allah s.w.t. dan menengadahkan muka kepadaNya, sedangkan mata mereka tidak berkelip-kelip lagi, memandang ke arah langit, bersatu kata dan hati, untuk memohon kerahmatan dan belas kasihan Allah. Dalam keadaan yang serupa itu, janganlah hendaknya ada orang yang menyangka, bahawa Allah s.w.t akan mengecewakan harapan mereka, atau mensia-siakan usaha mereka, ataupun menahan dari mencurahkan rahmat-rahmatNya yang tak terhingga ke atas mereka.
• Ketika melempar batu-batu itu, menggambarkan betapa seorang hamba itu akan menurut perintah tanpa banyak bicara dan menunjukkan sikap perhambaan dan ubudiahnya. Ketika melempar itu hendaklah ia bermaksud melempar wajah syaitan dan menetak belakangnya, supaya dirinya terpelihara dari godaan dan tipu dayanya.
• Ketika melakukan ziarah ke Madinah dan menyaksikan sekitarnya akan mengingatkan kita kepada negeri yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk NabiNya s.a.w. berhijrah ke situ dan mencari perlindungan diri dan agama di dalam naunganNya.
Di situ juga tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mensyariatkan berbagai-bagai perintah yang fardhu yang sunnat dan seterusnya.
Di situ jugalah diperintahkan ke atas Rasulullah s.a.w. untuk berjihad menetang mush-musuh yang mengancamnya, sehingga agama disebarkan itu menjadi kenyataan dan terkenal kepada orang ramai, sampailah akhirnya baginda menemui ajalnya dan dimaqamkan di situ pula. Pendek kata negeri Madinah itu merupakan tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t. bagi NabiNya s.a.w. dan bagi orang-orang Muslimin yang pertama dan utama.
Di situlah pula segala perintah-perintah Allah s.w.t mula dikuatkusakan.
Di situ juga terkumpul sekalian makhluk Allah yang utama, dalam masa hidup mahupun sesudah mati, masing-masing dengan kemuliaan dan kelebihannya yang tiada tanding dan taranya