Rabu, 10 September 2008

Pengajian Kitab: Fasal Taubat


Setiap amalan dalam Islam mempunyai syarat dan rukun. Jika sesuatu syarat atau rukun tidak sempurna maka begitulah ibadah atau amalan tersebut, sama ada menjadi tidak sempurna atau lebih parah lagi menjadi tidak sah atau batal, justru menjadi sia-sia, menjadi 'haba-an mantsura' (debu-debu berterbangan).
Taubat yang merupakan satu ibadah dan amalan yang dihukumkan wajib bagi orang yang berdosa dan sunnat bagi yang tidak berdosa. Jadi tengok le diri, kalau rasa tak berdosa, dihukumkan taubat itu sunnat, tapi kalau banyak dosa, wajiblah bertaubat. Mari kita telaah kitab "Sullamul Mubtadie" di tepi "Kifayatul Muhtadie" mukasurat 370 371 berhubung hal taubat ini.
Matan Kitab:
(Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf iaitu
• menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya
• meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya d
• mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama,
• maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api

Serta ia membanyakkan mengucap istighfar dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia. Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat - ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat.

Inilah matan kitab tersebut. Untuk makluman, kitab ini merupakan karangan Mawlana al-'Alim al-'Aamil al-'Allamah al-Kaamil asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang masyhur itu. Dan kitab ini juga telah diberi syarah oleh Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dengan jodol "Kifaayatul Muhtadie pada menerangkan cahaya Sullamul Mubtadie". Syaikh Muhammad Nur adalah anak kepada Syaikh Muhammad al-Fathoni atau gelarannya Syaikh Nik Mat Kecik pengarang "Mathla`ul Badrain" yang masyhur yang merupakan anak saudara dan anak angkat bagi Syaikh Daud al-Fathoni. Harap fahami matan kitab di atas dan insya-Allah, kita syarahkan nanti sekadar mampu dan keizinan Allah yang Esa.

Matan:-
(Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf.
Syarah:-
Yakni kewajipan bertaubat itu adalah bagi orang yang mengerjakan dosa tersebut dan kewajipan ini hendaklah dilakukan dengan bersegera atas setiap orang mukallaf, yakni yang aqil baligh. Ini adalah kerana orang yang beriman apabila melakukan dosa dan maksiat rasa berdosa dan bersalah akan terus wujud kerana sekurang-kurang nafsu orang beriman ialah nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa dan maksiat. Sepakat ulama tasawwuf dan fuqaha mewajibkan orang yang melakukan dosa bertaubat dari dosanya dan ianya hendaklah dilakukan dengan segera. Menangguh-nangguhkan taubat merupakan satu lagi dosa yang memerlukan kepada taubat yang lain pula. Oleh itu setiap kali kita terjerumus dalam dosa dan maksiat, maka teruslah bertaubat kepada Allah. Dan di sinilah peranan dan pentingnya ilmu yang memberi panduan mengenai dosa dan maksiat, kerana berapa ramai orang yang melakukan dosa dan maksiat tidak bertaubat atau tidak merasa berdosa kerana dia tidak tahu apa yang dilakukannya itu sebagai satu dosa dan maksiat kepada Allah.

Matan:-
iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya
Syarah:-
Syarat taubat yang pertama ialah "an-nadam", iaitu menyesal atas keterlanjurannya melakukan dosa tersebut. Sebagaimana dinyatakan tadi, orang beriman sentiasa menyesal setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Ini adalah kerana wujudnya iman dalam hatinya. Mungkin kerana imannya walaupun wujud tetapi masih lemah, maka dia masih terjerumus dalam dosa dan maksiat. Tetapi bezanya dengan orang yang tidak punya iman ialah dia walaupun berdosa menyesali akan dosanya tersebut berbanding yang tidak beriman. Penyesalan ini amat penting kerana ianya akan membawa orang tersebut kepada kesempurnaan taubatnya. Dalam riwayat dinyatakan bahawa Junjungan s.a.w. bersabda bahawa "Taubat itu adalah penyesalan", dan dalam riwayat lain dinyatakan bahawa "Setiap anak Adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik pelaku dosa adalah yang bertaubat dari dosanya." Tetapi kerana kurangnya kesedaran ilmu, maka sekarang orang melakukan maksiat tanpa rasa berdosa kerana dia tidak beranggapan ianya dosa. Ada orang yang berzina, tetapi tidak merasa berdosa kerana katanya dia berzina kerana suka sama suka dan kerana masing-masing ikhlas antara satu sama lain. Allahu .... Allah, dunia dah nak terbalik, manusia sudah songsang, bukan berbicara ikhlas dalam sholat, tetapi ikhlas dalam berzina. Begitu juga dalam bab-bab lain, manusia sudah tidak gemar pada ilmu-ilmu agama, mereka lebih tahu kesalahan lalu lintas berbanding kesalahan dalam hukum syarak. Bagaimana Allah nak beri bantuan kepada umat yang sebegini ????? Lihat sahaja para penganas yang mengganas atas nama Islam, membunuh secara membabibuta tak kira siapa mangsanya, hatta yang seagama pun menjadi mangsa, tidakkah mereka merasa perbuatan mereka tersebut MAKSIAT kepada Allah ? Sudah tentu tidak kerana itu mereka berbuat sedemikian. Sedangkan menurut fuqaha muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah, perbuatan membunuh orang tanpa hak adalah dosa besar. Justru ikhwah sekalian, selain kesalahan duniawi kena telaah dan belajar hukum halal haram dalam Islam, mari duduk depan tuan-tuan guru yang mengajar berpandukan kitab ulama terdahulu untuk mengetahui hal ini. Antara kitab yang elok untuk kita telaah dalam bab ini ialah kitab "al-Kabair" karangan Imam az-Zahabi dan kalau nak yang lebih luas bahasannya kitab "az-Zawajir" karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Kalau tak silap kitab "al-Kabair" tersebut sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu. Allahu a'laam.

Matan:-
" dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya "
Rukun seterusnya bagi seorang yang bertaubat ialah hendaklah dia tatkala bertaubat tersebut meninggalkan dosa dan maksiatnya itu dengan ikhtiarnya sendiri, yakni dengan pilihannya sendiri. Di sini terdapat 2 perkara pokok yang perlu difahami, (i) meninggalkan dosa; dan (ii) dengan ikhtiarnya. Bukan dinamakan orang bertaubat yang sewaktu bertaubat masih melakukan dosa yang ditaubatnya. Dan begitu juga orang yang meninggalkan maksiat kerana terpaksa, bukan kerana pilihannya sendiri demi menjunjung perintah Ilahi tidaklah dianggap sebagai sempurna taubatnya.
Sekarang kita lihat, ada segelintir manusia yang masih berselera dengan dosa dan maksiat, bahkan berbangga-bangga dengan dosa dan maksiat, cuma oleh kerana sudah uzur atau sudah tua, maka maksiat tersebut ditinggalkannya. Maka jadilah dia meninggalkan dosa dan maksiat kerana faktor tersebut, bukan kerana menjunjungan perintah Allah, dia meninggalkan dosa bukan kerana keinsafan dan pilihannya sendiri, tetapi meninggalkan dosa kerana tak larat lagi nak buat dosa tersebut sedangkan hatinya masih suka dengan dosa tersebut, maka hal taubat sebegini menurut ulama tidak sempurna dan dikhuatiri tak sah di sisi Allah s.w.t. Inilah sebabnya, Mawlana Syaikh Daud menegaskan syarat ini dengan kalimah "....dengan ikhtiarnya". Demikian juga orang yang dipaksa bertaubat, lalu dia pun bertaubat kerana takut dihukum manusia, maka taubatnya itu hanya sah di mata manusia sedangkan di sisi Allah ta`ala, tidak dinamakan taubat. Ketahuilah dengan sebaiknya, agar kita faham bahawa kesempurnaan taubat itu hendaklah datang dari pilihan dan kesedaran kita sendiri setelah disuluh cahaya hidayah dan taufiq daripada Allah s.w.t. Allahu a'laam

Matan:-
"dan mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama, maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api "
Syarah:-
Seseorang yang bertaubat dengan sebenarnya, maka tatkala bertaubat tersebut langsung tidak teringat atau teringin bahkan terlintas untuk kembali membuat dosa yang ditaubatkan itu selama-lamanya. Bahkan timbul rasa benci kepada maksiat tersebut seperti seseorang yang bencikan racun yang membinasakan atau benci dihumban ke dalam api neraka. Kerana hakikat kesudahan dosa dan maksiat itu membawa seseorang ke dalam siksaan neraka. Dosa dan maksiat yang merupakan penyakit batin adalah lebih bahaya daripada sakit zahir seumpama kanser, kalau seorang menghidap kanser paling teruk kesudahannya ialah mati, tapi dosa dan maksiat jika tidak diampun oleh Allah akan membawa pelakunya ke neraka, dan ingatlah bahawa azab neraka itu teramatlah pedih dan masa di sana teramatlah panjang. Adakah kekuatan kita nak menanggungnya nanti ??? Allahu...Allah. Tuhanku aku tak layak untuk Syurga FirdausMu, tetapi aku tak tahan menanggung siksa nerakaMu, oleh itu ampunkanlah aku terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar.
Seseorang yang mengaku bertaubat tetapi dosa masih terasa manis di sisinya, maka ketahuilah bahawa taubatnya belum cukup sempurna. Ada riwayat dalam hadits qudsi Allah ta`ala berfirman kepada Nabi Musa a.s. mengenai pertanyaan Nabi Musa tentang taubat seorang umatnya yang tidak dikabulkan Allah, maka Allah menjawabnya: "Bagaimana aku nak menerima taubatnya sedangkan hatinya masih melekat kepada dosa tersebut". Allahu a'laam.

Matan:-
".....dan serta ia membanyakkan mengucap istighfar. "
Syarah:-
Kesempurnaan taubat itu daripada hati yang tulus ikhlas terlancar ke lidah ucapan istighfar memohon keampunan Allah ta`ala. Junjungan s.a.w. seorang yang ma'sum menyatakan bahawa baginda mengucapkan istighfar 100 kali sehari. Maka insan kerdil dan banyak dosa seperti kita hendaklah berlebih lagi. Istighfar yang diucapkan biarlah betul-betul mencerminkan keinsafan hati kita. Ucapkanlah "Rabbirgh fir li" atau sebagainya. Tetapi hendaklah diingat bahawa ucapan istighfar yang hanya ditanam di bibir mulut tanpa berakar daripada hati kesannya jika pun ada amatlah minima. Tetapi janganlah cepat berputus asa, istighfar di lidah lebih baik daripada langsung tidak beristighfar. Insya-Allah, mudah-mudahan taubat lisan akan menembusi hati. Ingatlah bahawa titisan air yang terus menerus menimpa batu akan melekukkannya. Allahu a'laam.

Matan:-
"...dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia....."
Syarah:-
Jika dosa yang dilakukan merupakan maksiat meninggalkan kefardhuan atau kewajipan terhadap Allah, maka hendaklah orang yang bertaubat itu mengqadhakan fardhu yang ditinggalkannya dengan segera, jika kefardhuan tersebut ditinggalkan dengan sengaja tanpa keuzuran. Perlu diingat bahawa kejahilan tentang hukum hakam tidak termasuk keuzuran secara lazimnya. Maka hendaklah orang bertaubat tersebut menebus kembali fardhu yang ditinggalkannya dengan taubat dan qadha. Inilah pendapat jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada 4 mazhab. Inilah pendapat yang sewajarnya diikuti kita, inilah fatwa Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain ulama besar mazhab kita. Jangan terpengaruh dengan fatwa - fatwa zaman sekarang kaum muda atau lebih tepat kaum mudah yang suka bermudah-mudah dalam urusan agama, yang menyandarkan pendapat mereka kepada fatwa minoriti ulama Zahiri.
Seterusnya dinyatakan bahawa orang yang bertaubat dari maksiat meninggal fardhu tanpa uzur disyaratkan menggunakan segala masa dan kelapangannya untuk mengqadha fardhunya tersebut dan tidak dibenarkan dia mengerjakan amalan-amalan sunnat. Inilah qawl asah dalam mazhab kita, sedangkan qil mengatakan tidak perlu bersegera. Bahasan hal ini telah kita buat dahulu, silalah rujuk lagi.

Matan:-
"...Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat - ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia.."
Syarah:-
Jika dosa atau maksiat dilakukan bersangkut paut dengan hak manusia, maka kesempurnaannya ialah dengan dikembalikan balik hak orang tersebut, atau mintak halal. Jika membunuh orang atau mencederakan orang maka hendaklah menyerah diri kepada orang yang dicederai atau waris orang yang dibunuh agar dapat dijalankan hukuman qisas atau mintak halal atau dibayar diat.

Matan:-
"...dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat."
Syarah:-
Jika orang yang dizalimi tersebut telah tiada dan warisnya tidak diketahui, maka hendaklah orang yang bertaubat daripada kezalimannya itu memperbanyak membuat kebajikan dan bersedekah yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang kena zalimnya itu serta mendoakan orang tersebut. Kerana sesuatu hutang kezaliman yang tidak dijelaskan di dunia sewaktu hidup nescaya akan dituntut di akhirat dan nanti bukan wang ringgit yang digunakan untuk membayarnya melainkan pahala kebajikan kita. Mudah-mudahan dengan banyak bersedekah dan membuat kebajikan yang pahalanya ditujukan kepada orang yang kena zalim tersebut akan redhalah ia melepaskan tuntutannya atas si penzalim yang bertaubat itu. Dan mudah-mudahan dengan kesungguhannya bertaubat dan beramal sholeh Allah akan menjadi penanggung baginya atas tuntutan orang yang kena zalim tersebut. Allahu a'laam.

Tadarus al-Quran



Al-Quran yang merupakan kitab Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w menjadi kitab suci dan pedoman serta hidayat kepada umat Islam yang mengambilnya. Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, umat Islam digalakkan membaca, tadabbur, mengkaji dan mengamali al-Quran. Hal ini dilakukan oleh Salaf As-Soleh. Ada yang khatam al-Quran sekali bagi Ramadan, ada yang dua, tiga, empat, lima, enam, 10, 15 dan 30 kali khatam al-Quran pada bulan Ramadan.

Menariknya Imam Syafie seperti yang dinukilkan mengkhatamkan 60 kali al-Quran pada bulan Ramadan. Ini semua menunjukkan betapa mereka menggunakan semaksimum mungkin masa Ramadan untuk beribadat dan beramal soleh bagi menambahkan lagi pahala mereka di sisi Allah s.w.t.

Tadarus dengan maksud membaca dan mengkaji serta mempelajari al-Quran kerana mutiara hikmahnya dan kandungannya besar kelebihannya. Dengan sebab itu bagi mereka yang melihatnya sudah pasti mendapat banyak ilmu dan makrifah yang tiada ternilai kerana ia daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui.

As-Syahid Hasan Al-Banna berkata: Al-Quran adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu di dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membacanya.

Dalam sebuah hadis Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (Riwayat al-Hakim).

Dalam wasiat Rasulullah s.aw kepada Abu Zar r.a yang bermaksud: “Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama dengan malaikat yang mulia dan setia. Sementara orang yang membaca al-Quran dengan terpaksa bersusah-payah akan mendapat dua ganjaran. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah sering menggalakkan para sahabat membaca al-Quran. Baginda menentukan kedudukan seseorang berdasarkan hafalan al-Qurannya. Baginda menasihatkan orang yang tidak mampu membacanya agar mendengar dan cuba memahami supaya dia masih memperoleh keberkatan hubungan rohani bersama kitab Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”.

Dalam hadis Abu Hurairah r.a katanya yang bermaksud: “Suatu ketika Rasulullah mahu mengutuskan sekumpulan utusan yang agak ramai. Baginda telah meminta mereka membaca. Baginda meminta setiap orang membaca iaitu membaca al-Quran yang mereka hafal. Lalu baginda bertemu dengan seorang lelaki yang paling muda usianya di kalangan anggota utusan itu dan baginda bersabda: “Apakah yang ada bersamamu wahai fulan?” Jawab pemuda itu: “Saya hafal ini dan ini serta surah al-Baqarah”. Baginda bertanya: “Apakah benar anda menghafal surah al-Baqarah?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Berangkatlah dan engkau adalah ketua mereka”. (Riwayat al-Tirmizi dan katanya: Hadis ini hadis hasan)

Generasi silam yang soleh (semoga Allah meredai mereka) amat memahami kelebihan al-Quran dan kelebihan membacanya. Oleh itu mereka menjadikan al-Quran sebagai sumber undang-undang mereka, perlembagaan hukum mereka, hiasan hati mereka, wirid dalam ibadat mereka. Mereka membuka hati mereka dengan sepenuhnya untuk menerima al-Quran. Mereka meneliti al-Quran dengan sanubari mereka.

Nilai-nilai al-Quran yang mulia sebati dalam roh mereka. Oleh kerana itu Allah memberi mereka ganjaran di dunia apabila mereka menerajui kekuasaan dunia dan di akhirat pula mereka akan mendapat ganjaran yang gemilang. Malangnya umat Islam mengabaikan al-Quran hingga menyebabkan menanggung kehinaan di dunia dan pegangan agama yang longgar.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Saya ditunjukkan ganjaran-ganjaran umat saya termasuklah habuk yang dibuang oleh seorang lelaki dari dalam masjid. Saya juga ditunjukkan dosa-dosa umat saya dan saya dapati tidak ada dosa yang lebih besar selain kerana satu surah al-Quran atau sepotong ayat yang diberikan kepada seorang lelaki lalu dia melupakannya”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Oleh itu marilah kita membaca al-Quran dan bertadarus dengannya. Ini kerana al-Quran sebagai mukjizat yang terbesar dan paling agung bagi Muhammad s.a.w. dengan sebab itulah Muhammad Iqbal pernah berkata: “Tidak ada satupun nasihat yang lebih berharga daripada nasihat yang disampaikan ibu kepadaku selagi aku masih kecil”. Ibuku berkata: “Hai anakku, bacalah al-Quran yang seakan-akan al-Quran itu diturunkan kepadamu”.

Jumaat, 5 September 2008

Pedoman hikmah Al-Syafie untuk direnungi

IMAM Al-Syafie adalah pengasas mazhab Syafie. Nama sebenarnya Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di sebuah bandar bernama Ghizah di Palestin.
Al-Syafie seorang miskin yang kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara untuk menimba ilmu.

Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadis dengan fikiran serta membentuk undang-undang fiqh.

Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair, tetapi mengubah haluan dengan mempelajari ilmu fiqh dan hadis hingga ke kemuncak paling tinggi dalam bidang itu.

Imam Syafie menghafaz al-Quran dengan mudah sejak kecil lagi. Pada waktu itu juga beliau sudah mula menulis hadis.

Beliau sangat tekun mempelajari kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama puak Hazyl selama 10 tahun. Kabilah Hazyl paling baik bahasa Arabnya.

Imam Syafie juga banyak menghafaz syair dan qasidah daripada puak Hazyl.

Imam Syafie turut banyak meninggalkan pesanan dan pedoman kepada umat manusia. Nasihatnya bukan saja berguna dan releven pada zaman itu, malah zaman berzaman hingga hari ini.

Berikut adalah antara nasihat Imam Syafie:

Empat perkara untuk sihat
1 Makan daging.
2 Memakai haruman.
3 Kerap mandi.
4 Berpakaian yang diperbuat daripada kapas.

Empat perkara melemahkan badan:
1 Terlalu banyak mengadakan hubungan kelamin.
2 Selalu cemas.
3 Banyak minum air ketika makan.
4 Banyak makan bahan yang masam.

Empat perkara menajamkan mata:
1 Duduk mengadap kiblat.
2 Bercelak sebelum tidur.
3 Memandang yang hijau.
4 Berpakaian bersih.

Empat perkara merosakkan mata:
1 Memandang najis.
2 Melihat orang dibunuh.
3 Melihat kemaluan.
4 Membelakangi kiblat.

Empat perkara menajamkan fikiran:
1 Tidak banyak berbual kosong.
2 Rajin bersugi (gosok gigi).
3 Bercakap dengan orang salih.
4 Bergaul dengan ulama.

Empat cara tidur:
1 Tidur nabi.
Terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi.

2 Tidur ulama dan ahli ibadah
Mengiring ke kanan memudahkan terjaga untuk solat malam

3 Tidur raja yang haloba.
Mengiring ke kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

4 Tidur syaitan.
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Pedoman hikmah Al-Syafie untuk direnungi



IMAM Al-Syafie adalah pengasas mazhab Syafie. Nama sebenarnya Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di sebuah bandar bernama Ghizah di Palestin.
Al-Syafie seorang miskin yang kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara untuk menimba ilmu.

Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadis dengan fikiran serta membentuk undang-undang fiqh.

Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair, tetapi mengubah haluan dengan mempelajari ilmu fiqh dan hadis hingga ke kemuncak paling tinggi dalam bidang itu.

Imam Syafie menghafaz al-Quran dengan mudah sejak kecil lagi. Pada waktu itu juga beliau sudah mula menulis hadis.

Beliau sangat tekun mempelajari kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama puak Hazyl selama 10 tahun. Kabilah Hazyl paling baik bahasa Arabnya.

Imam Syafie juga banyak menghafaz syair dan qasidah daripada puak Hazyl.

Imam Syafie turut banyak meninggalkan pesanan dan pedoman kepada umat manusia. Nasihatnya bukan saja berguna dan releven pada zaman itu, malah zaman berzaman hingga hari ini.

Berikut adalah antara nasihat Imam Syafie:

Empat perkara untuk sihat
1 Makan daging.
2 Memakai haruman.
3 Kerap mandi.
4 Berpakaian yang diperbuat daripada kapas.

Empat perkara melemahkan badan:
1 Terlalu banyak mengadakan hubungan kelamin.
2 Selalu cemas.
3 Banyak minum air ketika makan.
4 Banyak makan bahan yang masam.

Empat perkara menajamkan mata:
1 Duduk mengadap kiblat.
2 Bercelak sebelum tidur.
3 Memandang yang hijau.
4 Berpakaian bersih.

Empat perkara merosakkan mata:
1 Memandang najis.
2 Melihat orang dibunuh.
3 Melihat kemaluan.
4 Membelakangi kiblat.

Empat perkara menajamkan fikiran:
1 Tidak banyak berbual kosong.
2 Rajin bersugi (gosok gigi).
3 Bercakap dengan orang salih.
4 Bergaul dengan ulama.

Empat cara tidur:
1 Tidur nabi.
Terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi.

2 Tidur ulama dan ahli ibadah
Mengiring ke kanan memudahkan terjaga untuk solat malam

3 Tidur raja yang haloba.
Mengiring ke kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

4 Tidur syaitan.
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Adab potong kuku

Apapun secara amnya sunat memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan siapa potong kuku setiap hari Rabu miskinlah ia. (Kesahihannya wallahua’lam). Seboleh-bolehnya elakkan dari mengekalkan memotong kuku pada hari Rabu (sekali-sekala tidak apa). Ini kerana isteri nabi iaitu Siti Khadijah pernah bertanya bagaimanakah caranya untuk menghabiskan harta beliau yang banyak. Maka jawab Nabi s.a.w. potonglah kuku pada setiap hari Rabu.

Nabi juga pernah berkata, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

Kaedah yang paling mudah ialah:-

KUKU TANGAN
Mulai dari Jari Telunjuk tangan kanan.
Jari Tengah tangan kanan
Jari Manis tangan kanan
Jari Kelingking tangan kanan (Tinggalkan Ibu Jari tangan kanan)
Jari Kelingking tangan kiri
Jari Manis tangan kiri
Jari Tengah tangan kiri
Jari Telunjuk tangan kiri
Ibu Jari tangan kiri
Ibu Jari tangan kanan

Mula dari kanan, penghabisan juga sebelah kanan.

KUKU KAKI - Mula dari kanan, penghabisan sebelah kiri iaitu kelingking kiri. Mulai dari Kelingking Kanan dan bergerak ke jari-jari lain di sebelah kiri jari kelingking kanan . (cara terus, straight - cara “highway”)

KEBERKATAN SURAH YASIN


KEBERKATAN SURAH YASIN

RASULULLAH s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan", iaitu:

• Apabila orang lapar membaca surah Yassin, ia boleh menjadi kenyang.

• Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.

• Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
• Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.

• Jika terpenjara akan dibebaskan.

• Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.

• Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.

• Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.

• Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.

• Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya".

Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Ridhwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.

Rasulullah s.a.w bersabda selanjutnya: "Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yassin dan rakaat kedua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik


• Melindungi pembacanya dari seksa kubur.

• Mendapat pahala yang besar seperti pahala mereka tetap solatnya pada malam lailatul-qadar.

• Mendapat hidayah ilmu yang yakin.

• Dikurniakan cahaya (nur) pada dirinya semasa ia mati

FADHILAT SURAH SAJDAH


FADHILAT SURAH SAJDAH

SURAH As-Sajdah (bererti sujud) adalah surah yang ke 32 dalam Al-Quran mengandungi 30 ayat. la dinamakan As-Sajdah kerana terdapat ayat yang menerangkan perihal orang-orang yang beriman, apabila mendengar ajaran kitab Allah lalu sujud sebagai bersyukur atas segala nikmat Allah. Selain dari itu ditegaskan dasar tauhiddan dalil-dalil yang membuktikan keesaan Allah, disamping mengurniakan taufiq dan hidayah kepada umat Islam.

Surah As-Sajdah adalah di antara beberapa surah di dalam Al-Quran yang mengandungi ayat Sajdah iaitu ayat yang disunatkan Sujud Tilawah bagi seseorang yang sedang membacanya, sama ada ketika solat atau tidak.

Terdapat beberapa Hadis Rasulullah SAW yang menerangkan fadhilat, faedah dan hikmah untuk mereka yang mengamalkan membaca Surah As-Sajdah ini.

Baginda tidak akan tidur sebelum membaca Surah ini dan Surah Al-Mulk.

• Melindungi pembacanya dari seksa kubur.

• Mendapat pahala yang besar seperti pahala mereka tetap solatnya pada malam lailatul-qadar.

• Mendapat hidayah ilmu yang yakin.

• Dikurniakan cahaya (nur) pada dirinya semasa ia mati