Khamis, 4 September 2008


Perintah Bersholawat

Inilah firman Allah yang rata-rata diketahui umum, bahkan dihafal oleh ramai. Tradisi kat tempat aku, sebelum Tok Khatib naik mimbar untuk berkhutbah, tak kiralah khutbah apa, khutbah Jumaat maupun khutbah hari raya, maka Tuan Bilal akan melantunkan bacaan ayat ini. Di dalam khutbah kedua nanti, maka sekali lagi ayat ini dibaca oleh Tok Khatib sebagai peringatan dan saranan untuk sentiasa bersholawat atas Junjungan s.a.w. Sungguh amalan bersholawat sudah sebati dalam amalan harian tok nenek kita dahulu. Malangnya 'kaum mudah' zaman ini, yang memandang diri mereka sahaja yang faham agama dan hanya mereka lurus agamanya, telah merendah-rendahkan kefahaman agama tok nenek kita dahulu, sehingga disamakan tok nenek kita yang beriman dan beramal itu dengan kaum musyrikin dan jahiliah, antaranya kerana mereka mengamalkan amalan-amalan yang dihukumkan bid`ah dan sesat, bahkan sampai ada yang tergamak menghukumkan mereka syirik.

Bila tok nenek kita duduk berkumpul membaca dan mendengar bacaan mawlid Junjungan s.a.w. sambil bersholawat, maka timbul golongan yang anti-mawlid. Apa semua ini ? Kan elok orang kumpul baca kisah Junjungan s.a.w. sambil sholawat daripada kumpul berborak kosong atau jadi penganalisa politik atau kumpul depan TV tengok Siti (maaf... Datin Siti) bersanding 2 - 3 kali atau paling dahsyat jadi penceramah bebas pembahagi neraka dan syurga buat sesama umat.

Bila tok nenek kita baca sholawat dengan tambahan siyaadah, maka muncul pula golongan anti-siyaadah, golongan yang gemar sebut nama Junjungan s.a.w. macam dia panggil kekawan dia sahaja. Sedangkan para ulama kita menghukumkan elok, dituntut, bagus, baik, awla, untuk menambah lafaz siyaadah sebelum menyebut nama Junjungan s.a.w. yang mulia, baik ketika sholat maupun di luarnya. Perkara ini antara lain telah dijelaskan oleh 'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdaani dalam "Fathul 'Allaam bi syarhi Mursyidil Anaam" juzuk 2 mukasurat 293, antara lain:-
"Dan telah diketahui bahawasanya pendapat yang mu'tamad (yakni qawl mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i) adalah dituntut penambahan siyadah sebelum lafaz "Muhammad" sebagai menjaga bagi adab. Dan sebagaimana dikatakan oleh sebahagian ulama, sewajarnya juga tambahan tersebut sebelum lafaz "Ibrahim".

Oleh itu, harap ikhwah budiman, jangan lagi ragu untuk menambah siyaadah dalam sholawat kalian, ketika dalam sholat maupun di luarnya, menurut pegangan mazhab kita yang luhur. Bagi yang tidak mahu, tidaklah menjadi persoalan besar, asalkan tidak dengan niat biadap atau merendahkan maqam dan martabat Junjungan s.a.w.. Maka terpulanglah kepada amalan masing-masing. Dia ada hujjah, kita pun ada hujjah. Dia ada sandaran, kita pun ada sandaran, so berlapang dadalah, tok sah nak berbalah dan salah - menyalah, karang dalam perang kalah, Zionis pula makin naik tocang ngeso olah. Shallu 'alan Nabiy

Wahai ikhwah budiman, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Afdhalush Sholawat 'ala Sayyidis Saadaat" menukilkan banyak hadits berhubung keutamaan dan fadhilat bersholawat, antaranya:-
Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sholawat ke atasku adalah nur pada hari kiamat tatkala kegelapan meniti titian Shiratul Mustaqim, maka perbanyakkanlah bersholawat ke atasku."
Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mendapat kesempitan dalam menunaikan hajatnya, maka hendaklah dia memperbanyakkan sholawat ke atasku, kerana sesungguhnya sholawat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesusahan, serta membanyakkan rezeki dan menunaikan hajat-hajat."
Junjungan s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang suka berjumpa Allah ta`ala dalam keadaan Allah meredhainya, maka hendaklah dia banyak bersholawat ke atasku."
Bersholawat bukan sahaja keberkatannya nampak di dunia tetapi lebih cemerlang dan gemilang di negeri akhirat nanti. Keberkatan yang meratai diri pembaca dan anak keturunannya, yang melimpah ruah sehingga ke negeri yang abadi. Sungguh agung amalan bersholawat ini, bahkan Syaikh Yusuf an-Nabhani juga menyebut dalam kitabnya tadi, antara lain:- "Ketahuilah olehmu wahai saudaraku, bahawasanya jalan yang paling cepat untuk wushul ke hadhrat Allah (yakni untuk mendapat keredhaanNya serta memperolehi makrifah dan mahabbah) ialah dengan bersholawat ke atas Junjungan s.a.w. Sesiapa yang berkehendak untuk memasuki hadhrat Allah (yakni wushul tadi) sedangkan tidak membuat khidmat yang khusus untuk Junjungan s.a.w., maka kehendaknya itu adalah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. Ini adalah kerana dengan meninggalkan khidmatnya untuk Junjungan Rasulullah s.a.w. maka dia telah buruk adab dengan Allah ta`ala, seumpama seorang petani yang ingin berhimpun bersama sultan tanpa melalui wasithah/perantara. Maka oleh itu wajib atasmu wahai saudaraku, untuk memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Rasulullah s.a.w. kerana bahawasanya khadam-khadam Rasulullah s.a.w. tidak akan diganggu oleh malaikat zabaaniah pada hari kiamat kelak demi memuliakan Junjungan Nabi s.a.w."

Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa amalan bersholawat ini sama sekali tidak boleh diperlekeh dan diperkecilkan. Mari kita senantiasa melantunkan ucapan sholawat dan salam atas Junjungan s.a.w. dengan penuh rasa takzim dan syauq kepada Junjungan s.a.w. yang merupakan rahmat bagi sekalian alam.

Keharuman Majlis 1


Ketahuilah, bahawasanya sesuatu majlis perhimpunan yang harus itu akan menjadi cemerlang jika sekiranya ianya diserikan dengan dzikrullah dan ucapan-ucapan sholawat serta salam ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. Hal ini telah disebut dalam beberapa hadits Junjungan Nabi s.a.w. di antaranya:- "Tidak berhimpun sesuatu kaum (yakni dalam majlis perhimpunan) yang kemudiannya mereka bersurai pergi dengan tanpa mengingati Allah azza wa jalla dan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., melainkan perginya mereka (dari majlis tersebut) dengan bau busuk bangkai."

Bukan itu sahaja, majlis tersebut juga akan menjadi sesalan kepada orang-orang yang hadir di dalamnya, sebagaimana sabda Junjungan Nabi s.a.w.:- "Tidak duduk sesuatu kaum dalam satu majlis, yang mana mereka tidak berzikir mengingati Allah ta`ala di dalamnya dan tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi mereka, melainkan jadi atas mereka satu penyesalan; Maka jika sekiranya Allah mengkehendaki, diazabkanNya mereka dan jika Dia mengkehendaki, diampunkanNya mereka.

Jika sahaja dalam hadits yang tersebut menyatakan bahawa sesuatu majlis yang kosong daripada zikrullah dan sholawat akan menimbulkan bau busuk bangkai, maka mafhum mukhalafahnya pula ialah, sesuatu majlis yang dipenuhi zikrullah dan sholawat serta salam, akan menimbulkan bau yang harum semerbak mewangi. Dalam majlis mawlid, orang buat apa ? Sahaja suka-suka borak-borak ke ? Tentu tidak, deme berzikir, baca ayat-ayat al-Quran, dengar sirah Junjungan s.a.w., bersholawat dan mengucapkan salam serta melahirkan dan menyatakan kegembiraan dan syukur atas zahirnya rahmat bagi sekalian alam, Junjungan Nabi s.a.w. Cuma hal keadaan bau-bau ini, kemungkinan kita tidak mampu untuk menciumnya kerana deria bau kita mungkin sudah terdinding akibat dosa dan maksiat yang telah berleluasa, dan mungkin juga ianya akan disimpan untuk kita sehingga ke Hari Pembalasan, mungkin jugak ada rahsia lain yang kita tak tahu, nanti aku cite posting akan datang.

Maka jika bau tersebut harum mewangi menjadilah ianya sebagai suatu ni'mat yang tidak dapat digambarkan, atau jika bau tersebut busuk, maka terseksalah kita sekiranya menciumnya nanti. Pikau sahajalah kalu dalam kereta tiba-tiba seseorang melepaskan gas beracunnya, silap-silap boleh muntah, pitam pun boleh berlaku, terseksa oooooo, seksaan di sana nanti lagi le dahsyat, na`udzubillah min dzalik. Aku teringat jugak kata tok guru, Nabi Adam a.s. waktu mula diturunkan ke dunia pengsan 40 tahun sebab tak tahan bau busuk dunia ni. Allahu .... Allah. Berkenaan hal ini tidaklah mustahil berkekalannya bau-bau tersebut sehingga ke Hari Pembalasan kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang datang mengadap Qadhi Rabbul Jalil dalam keadaan yang harum mewangi. Allahummaj 'alna minhum.

Keharuman Majlis 2



Ikhwah, Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani dalam bukunya "Ma-dza fi Sya'baan" mukasurat 38 - 39 di mana beliau menukil perkataan Imam Ibnul Jawzi (bukan Ibnul Qayyim al-Jawziyyah) dalam kitabnya "al-Bustan" atau jodol penuhnya "Bustanul 'Waa`idhziin wa Riyadhus Saami`iin" seperti berikut:-



Apabila saja sesuatu majlis di mana para hadirin yang menghadirinya tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. akan menyebabkan para hadirin yang menghadirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik. Dan yang sedemikian itu ialah kerana Junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik makhluk daripada makhluk yang baik dan sesuci-suci makhluk daripada makhluk yang suci, yang mana apabila Junjungan s.a.w. berkata-kata dalam sesuatu majlis, nescaya penuhlah majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi. Maka demikianlah juga pada majlis yang disebut di dalamnya akan Junjungan Nabi s.a.w. (yakni dengan bersholawat, mendengar hadis-hadis Junjungan s.a.w., mendengar ajaran-ajaran Junjungan s.a.w. dan mendengar kisah-kisah yang berkaitan dengan Junjungan s.a.w.), nescaya akan terbitlah bau harum semerbak mewangi yang menembusi tujuh petala langit sehinggalah ke arasy, yang keharumannya dicium oleh segala makhluk Allah ta`ala yang di bumi selain daripada jin dan manusia. Kalaulah manusia dan jin dapat mencium bau harum tersebut, nescaya lupalah mereka akan segala urusan penghidupan mereka, kerana terlalu sibuk meni'mati kelazatan dan keni'matan bau harum tersebut.Manakala, setiap malaikat dan makhluk Allah ta`ala selain jin dan manusia, yang mencium bau harum tersebut akan berdoa memohon keampunan untuk orang-orang yang hadir dalam majlis tersebut, dan akan dituliskanlah bagi mereka yang hadir itu pahala sebanyak bilangan makhluk Allah ta`ala yang mencium bau harum tersebut serta diangkat darjat mereka menurut bilangan makhluk-makhluk tersebut. Maka setiap seorang masing-masing akan mendapat pahala yang sedemikian tadi tanpa mengira berapa jumlah mereka yang berhimpun dalam majlis tersebut, sama ada hanya seorang ataupun seratus ribu orang, dan apa yang ada di sisi Allah daripada pahala dan ganjaran adalah terlebih banyak lagi.

Dan telah disyairkan oleh orang dengan katanya:-

Sentiasalah mewangi waktu-waktu yang disebutkan;
Khabar-khabar berkenaan Junjungan s.a.w. dalam majlis yang harum;
Maha Suci Tuhan Pencipta baginda;
Suatu cahaya yang dirupakan dengan sebaik-baik rupa.

Begitulah ikhwah, jika semua kita dapat mencium keharuman bau tersebut, semua tak sibuk nak kerja dah, kerana sibuk nak baca mawlid sebab nak meni'mati keharuman bau majlis tersebut. Ini antara hikmah kenapa baunya dihijabkan dulu buat kita.....Allahu....Allah. Jadi toksahlah nak malas-malas hadir majlis-majlis di mana Junjungan s.a.w. disebut-sebut, sholawat dan salam diucapkan, qasidah pujian dilantunkan serta doa dan syafaat dipohonkan. Kalau kome semua tak nak tak apa, bagi kat sesiapa yang nak sahaja. Yang tak nak, pi tidur sudahlah, toksah nak ganggu orang yang nak
Keberkatan berpanjangan

Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam karangannya "Ma dza fi Sya'baan" menukil sebuah atsar di mana Sayyidina Hudzaifah r.a. berkata bahawa sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. (keberkatannya) mencapai/mencakupi si pembaca, anaknya dan anak kepada anaknya (yakni cucunya). Atsar yang sama juga tercatat dalam kitab "Jawahirul Ma`ani wa Bulughul Amaani" karangan Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi dan diriwayatkan oleh Ibnu Basykawaal.

Jangan tanya aku mengenai kesahihan atsar ini kerana aku bukan muhadditsin. Tetapi, cukup bagiku jika Buya al-Maliki yang merupakan seorang ahli hadits menukil atsar ini pabila menceritakan antara kelebihan sholawat. Lagi pun yang jelas bersholawat itu sememangnya diperintahkan dan dianjurkan serta banyak kelebihan dunia dan akhirat.

Kenapa masih malas bersholawat ? Kenapa lidah kita masih banyak menyebut selain Junjungan s.a.w. ? Adakah kerana hati kita masih cenderung kepada yang selain baginda ? Semua orang cari keberkatan dalam hidup, kerana hidup yang berkat akan membawa kepada kesudahan yang cemerlang. Nah amalan bersholawat, bukan sahaja menjadikan kehidupan kita penuh keberkatan, tetapi, bi idznIllah, akan menjadikan kehidupan anak cucu kita juga diberkati Allah Rabbul Jalil. Tahun baru masih panas, tanamkan azam bahawa tahun ini kan ku pertingkatkan wirid sholawat ku
Sholawat 100 Kali Hari Jumaat

Ikhwah, Imam Ibnu Mandah dalam "al-Fawaaid", Imam al-Ashbahaani dalam "at-Targhib", Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam al-Baihaqi dalam "Hayatul Anbiya`" meriwayatkan satu hadits daripada Sayyidina Anas r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
"Sesiapa bersholawat ke atasku 100 kali pada hari Jumaat dan malam Jumaat, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 dari hajat-hajat akhirat dan 30 dari hajat-hajat dunia. Kemudian Allah wakilkan seorang malaikat untuk menghadapku dengan membawa sholawat-sholawat tersebut dalam kuburku sebagaimana menghadap orang membawa hadiah kepada kamu, bahawasanya ilmu/pengetahuanku setelah mati sama seperti ilmu/pengetahuanku sewaktu aku hidup."

Begitu besar kelebihan bersholawat, terutama pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Tak heran kenapa ulama - ulama dahulu sering mengadakan majlis-majlis sholawat pada malam dan hari tersebut. Majlis yang berupa pembacaan kitab-kitab mawlid yang sarat dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. Malangnya, sekarang tradisi dan amalan ini semakin dilupai, bahkan lebih dahsyat diperangi oleh segelintir manusia yang bertopengkan al-Quran dan as-Sunnah. Mudah-mudahan kita semua selamat dari fitnah ini, dan berpegang teguh dengan para ulama kita terdahulu yang menjadi obor penyebaran Islam dirantau ini dan memasukkan Islam kepada datuk nenek kita, bukannya menjadi pengikut segelintir ustaz zaman kini yang ingin mengeluarkan "verdict" kafir, bid`ah, khurafat dan sebagainya kepada sesama ummat




Keharuman Majlis 3

Seterusnya ikhwah dalam muqaddimah "Dalailul Khairat" dan juga dinukil oleh Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthub al-Haddad r.anhum dalam syarah ratibnya mukasurat 193 sebuah atsar yang menyatakan:-
"Tidak ada satu majlis yang mana diucapkan dalamnya ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. melainkan timbul bangkit dari majlis tersebut bau harum semerbak mewangi sehingga menjangkau kolong langit teratas, maka berkatalah para malaikat: "Inilah bau majlis yang mana padanya diucapkan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w."
Oleh itu, hiasilah rumah-rumah dan majlis-majlis kita dengan dzikrullah, sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. sebagaimana dianjurkan oleh Junjungan s.a.w. dalam sabdaan-sabdaan baginda:-
"Hiasilah majlis-majlis kamu dengan ucapan-ucapan sholawat ke atasku, maka sesungguhnya sholawat-sholawat kamu ke atasku akan menjadi cahaya (kebajikan) bagi kamu pada hari kiamat."

"Jangan kamu jadikan rumah kamu sebagai kuburan (yang kamu tiada bersholawat kepadaku di dalamnya); dan jangan pula kamu jadikan kuburku sebagai hari raya (yakni hanya hendak bersholawat apabila berada di sana sahaja atau hanya mahu menziarahinya pada masa-masa tertentu sahaja), tetapi bersholawatlah kamu ke atasku kerana sesungguhnya sholawat kamu disampaikan kepadaku di mana sahaja kamu berada."

Begitulah ikhwah, alangkah bahagianya seseorang yang menjadikan rumahnya tempat ibadah dengan mengerjakan sholat nawafil, berzikir, bersholawat, mengadakan majlis-majlis ilmu dan kebaikan seperti majlis zikir dan majlis mawlid di dalamnya. Biarlah rumah kediaman kita tidak hanya menjadi tempat makan, minum, tidur dan gudang serta muzium untuk menyimpan barang sahaja. Jangan marah nooooo.

Selawat "Munjiyat"

Munjiyat bererti penyelamat. Selawat ini jika diamalkan dengan banyak membacanya maka ia akan menyelamatkan dari segala sesuatu yang tidak diinginkan bahkan dengan banyak membaca selawat ini InsyaAllah akan mendatangkan segala hajat yang diinginkan. Bagi orang yang mempunyai hajat yang sangat penting dan ingin segera dikabulkan oleh Allah SWT maka selawat ini eloklah dibaca sebanyak 1,000 kali.

Bacaannya bermaksud:-

"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang dengan rahmat itu Engkau akan menyelamatkan kami dari semua keadaan yang mendebarkan dan dari semua cubaan. Dengan rahmat itu Engkau datangkan kepada kami semua hajat. Yang dengan rahmat itu Engkau bersihkan kami dari semua keburukan dan kesalahan. Yang dengan rahmat itu Engkau angkat kami kepada derajat yang tinggi. Yang dengan rahmat itu Engkau sampaikan kami kepada maksud yang paling sempurna dari semua kebajikan semasa hidup dan sesudah mati".

Selawat "Nariyah atau Tafrijiyyah"
Sholawat Tafrijiyyah (sholawat memohon kelepasan dari kesusahan dan bencana) adalah antara sholawat yang terkenal diamalkan oleh para ulama kita. Sholawat ini juga dikenali sebagai Sholawat at-Tafrijiyyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurthubi), dan ada juga ulama yang menisbahkannya kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin bin Imam al-Husain r.anhuma. Di negeri sebelah maghrib, ianya dikenali sebagai Sholawat an-Naariyah kerana menjadi amalan mereka apabila ingin melaksanakan sesuatu hajat atau menolak sesuatu bencana, mereka akan berkumpul dan membaca sholawat ini 4444 kali lalu terkabul hajat mereka dan tertolak segala malapetaka secepat api yang menyambar atau membakar. Ianya juga dikenali sebagai Miftahul Kanzil Muhiith li naili muraadil 'abiid (kunci perbendaharaan yang meliputi untuk menyampaikan harapan si hamba). Sholawat ini mempunyai keistimewaannya kerana selain sholawat ianya merupakan tawassul kepada Allah dengan Junjungan Nabi s.a.w. di mana kita menyebut nama dan dhamir Junjungan s.a.w. sebanyak 8 kali.

Menurut Imam al-Qurthubi sesiapa yang melazimi akan sholawat ini setiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya Allah melepaskan kedukaan, kebimbangan dan kesusahannya, menyingkap penderitaan dan segala bahaya, memudahkan segala urusannya, menerangi sirnya, meninggikan kedudukannya, memperbaikkan keadaannya, meluaskan rezekinya, membuka baginya segala pintu kebajikan, kata-katanya dituruti, diamankan dari bencana setiap waktu dan dari kelaparan serta kefakiran, dicintai oleh segala manusia, dimakbulkan permintaannya. Akan tetapi untuk mencapai segala ini, seseorang itu hendaklah mengamalkan sholawat ini dengan mudaawamah (berkekalan).

Imam as-Sanusi berkata bahawa sesiapa yang melazimi membacanya 11 kali setiap hari, maka seakan-akan rezekinya turun langsung dari langit dan dikeluarkan oleh bumi.

Imam ad-Dainuri berkata bahawa sesiapa yang membaca sholawat ini dan menjadikannya wirid setiap selepas sholat 11 kali, nescaya tidak berkeputusan rezekinya, tercapai martabat yang tinggi dan kekuasaan yang mencukupi. Sesiapa yang mendawamkannya selepas sholat Subuh setiap hari 41 kali, tercapai maksudnya. Sesiapa yang mendawamkannya 100 kali setiap hari, terhasil kehendaknya dan memperolehi kehormatan/kemuliaan melebihi kehendaknya. Sesiapa yang mendawamkannya setiap hari menurut bilangan para rasul (313 kali) untuk menyingkap segala rahsia, maka dia akan menyaksikan segala apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mendawamkannya 1000 kali sehari, maka baginya segala yang tidak dapat hendak diterang dengan kata-kata, tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar dan tidak pernah terbetik di hati manusia.

Imam al-Qurthubi juga berpesan bahawa sesiapa yang berkehendak untuk menghasilkan hajatnya yang besar atau menolak bencana yang menimpa, maka bacalah sholawat ini sebagai tawassul dengan Junjungan Nabi yang empunya akhlak yang agung 4,444 kali, nescaya Allah ta`ala akan menyampaikan kemahuan dan harapan itu atas niat si pembaca. Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyebut akan kelebihan bilangan ini sebagai iksir fi sababit ta`siir (pati ubat sebagai penyebab berlakunya kesan).

Menurut kata ulama, sholawat ini adalah merupakan satu perbendaharaan daripada khazanah-khazanah Allah, dan bersholawat dengannya merupakan kunci-kunci pembuka segala khazanah-khazanah Allah yang dibukakan Allah bagi sesiapa yang mendawaminya serta dengannya seseorang boleh sampai kepada apa yang dikehendaki Allah s.w.t. Oleh itu silalah ikhwah semua merujuk kepada para ulama kita (ingat bukan ulama mereka kerana karang semuanya akan dibid`ahsesatkan) dan melihat akan karangan-karangan terdahulu seperti "Afdhalush Sholawat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, "Jawahirul Mawhub" dan "Lam`atul Awrad" kedua-duanya karangan Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani, "Khazinatul Asrar" karangan Syaikh Muhammad Haqqi an-Naazili dan lain-lain lagi. Sesiapa yang tak ingin beramal dengannya, tak mengapa, amalkan sahaja apa yang kamu nak amal, jangan nak berbalah pulak dengan aku kerana aku sekadar menukil kata ulama. Daripada berbalah, elok kita perbanyakkan sholawat, shollu 'alan Nabiy.
Selawat Nariyah disebut juga selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT. Bagi seseorang yang menginginkan agar kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan dan persaingan sebaiknyalah ia mengamalkan selawat Nariyah dengan membacanya selepas solat fardhu sebanyak yang ia mampu. Bagi orang yang menghadapi kesempitan atau kebuntuan dalam menyelesaikan apa-apa masalah baik dalam bidang perdagangan atau di dalam menghadapi orang yang berniat jahat maka selawat ini bolehlah dibaca sehingga 4,444 kali.
Kata Imam Addainuri Rahimahullah sesiapa yang membaca selawat ini setiap selepas solat fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke derajat yang tinggi.
Kata Al_Qurtubi pula sesiapa yang membaca selawat ini setiap hari sebanyak 44 kali nescaya Allah SWT hilangkan dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang berkebajikan dan dikasihi oleh orang ramai.

Bacaannya bermaksud:-

"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".

Selawat "Syifaa"

Syifaa ertinya penyembuh. Selawat ini jika diamalkan secara Istiqamah setiap hari boleh menjadikan badan sihat dan sejahtera. Dijauhkan dari segala macam penyakit dengan izin Allah SWT dan diterangkan hatinya. Sebaiknya selawat ini dibaca selepas sembahyang fardhu menurut kemampuan seseorang dengan bilangan yang tetap.
Bacaannya bermaksud:-



"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi penawar semua hati dan ubatnya, yang menjadi kesihatan semua badan dan kesejahteraannya, yang menjadi cahaya semua hati dan kemilaunnya dan menjadi kekuatan semua badan dan makanannya. (Dan semuga rahmat melimpah pula) kepada segenap keluarga dan sahabat baginda serta beroleh keselamatan".

Selawat "Li Tausii'il Arzaaq"

Selawat ini akan melapangkan rezeki seseorang yang mengamalkannya. Hendaklah ia dibaca setiap hari selesai sembahyang seberapa banyak yang mampu. InsyaAllah Tuhan akan memberikan rezeki dengan lancar dan berkat dan dijauhkan dari malapetaka yang merugikan.

Bacaannya bermaksud:-

"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang dengan rahmat itu maka akan melapangkan semua rezeki kepada kami dan dengan rahmat itu pula akan membuat bagusnya akhlak pada kami. Dan semuga Allah melimpahkan rahmat kepada keluarga baginda serta sahabat baginda dan beroleh kesejahteraan".

Selawat "Fatih"

Selawat ini dibaca bagi memohon hajat yang sudah lama terpendam. Sebaik-baiknya dibaca sebanyak 100 kali sehari.

Bacaannya bermaksud:-

"Ya Allah! Rahmatilah ke atas penghulu kami Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup dan penyudah bagi kami yang telah lalu dan menolong kebenaran dengan kebenaran dan yang menunjukkan jalan Engkau yang lurus dan di atas ahlinya dan sahabatnya yang mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi lagi agung".

Selawat "Ibrahimiyah"

Berkata sesetengah ulama sesiapa membaca selawat ini 1000 kali Insya Allah dia akan bertemu dengan Nabi SAW di dalam tidurnya dan nabi SAW bersabda:

"Sesiapa yang membaca selawat ini nescaya aku saksikan baginya di hari kiamat dengan pengakuan dan aku beri syafaat baginya".
Lafaz selawat ini sebaik-baiknya, selengkap-lengkapnya dan dengan kesempurnaan lafaz ke atas junjungan Nabi SAW sebab selawat ini ditentukan bacaannya di dalam sembahyang.

Bacaannya bermaksud:-

"Ya Allah rahmatkan ke atas Nabi Muhammad SAW dan di atas keluarga Nabi Muhammad SAW sebagaimana Engkau rahmatkan ke atas Nabi Ibrahim a.s dan di atas keluarga nabi Ibrahim a.s dan berkatilah ke atas Nabi Muhammad SAW dan keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya ke seluruh alam. Sesungguhnya Engkau terpuji lagi Mulia".

Selawat "Nur"

Hikmah dari membaca selawat ini ialah menerangkan hati dapat menyingkap rahsia-rahsia ilmu dan mengubati bisa-bisa dan pembuka rezeki. Selawat ini hendaklah dibaca setiap hari 100 kali atau 92 kali.

Bacaannya bermaksud:-

" Ya Allah SWT Limpahkanlah rahmat ke atas segala cahaya, pembuka segala rahsia, penawar segala penyakit, anak kunci segala kesulitan, penghulu kami Nabi pilihan dan segala keluarga kesucian dan para sahabat pilihan berbilang-bilang nikmat Allah SWT dan kelebihannya".



Selawat "Futuh"

Selawat ini khas untuk memohon rezeki. Hendaklah diamalkan setiap hari 113 kali atau 114 kali.

Bacaannya bermaksud:-

" Ya Allah rahmat dan sejahterakan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya dengan bilangan sebanyak rezeki dan apa-apa yang dibuka. Ya Allah! yang membuka rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki dengan tiada diduga, bukalah ke atas kami rezeki yang luas daripada setiap penjuru dan daripada gedung ghaibMu dengan tiada mengharapkan makhluk dengan sebenar kurniaanMu dan kemuliaanMu dengan berkat rahmatMu wahai yang penyayang dari segala yang sayang".

Selawat "Sir"

Sesiapa yang beramal dengan selawat ini diterangkan mata hatinya dan akal fikirannya. Hendaklah dibaca setiap selepas solat fardhu sebanyak 25 kali.

Bacaannya bermaksud:-
Ya Allah! Limpahkan rahmatMu dan sejahterakan olehMu dan berkatilah olehMu ke atas penghulu kami dan pelindung kami Nabi Muhammad SAW pembawa cahaya awal dan rahsia yang terpendam pada sekalian nama-nama dan sifat-sifat".
Sekadar renungan bersama:

Kalimah 'as-salamulaika aiyuhan Nabiyu' di dalam tasyahhud mengandungi pengajaran yang jelas bahawa bukan sahaja seseorang yang mendirikan solat itu mesti ingat kepada Allah SWT dan merasai hampir dengannya tetapi juga harus mengingati Muhammad rasul-Nya. Dengan mengucapkan doa yang bermaksud:"Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Nabi", sudah jelas dengan istilah "kamu wahai nabi" itu memperlihatkan begitu dekatnya ummat yang mendirikan solat itu dengan Rasulullah SAW. Al-Imam Ghazali menyatakan bahawa sebelum seseorang itu mengucapkan kalimah "as-salamualaika" hendaklah ia menghadirkan nabi SAW itu di dalam hatinya. Di dalam ilmu psikologi disebut sebagai 'tajrid' yang bererti seseorang itu hendaklah mengosongkan di dalam hatinya dari segala sesuatu bagi memberi ruang untuk mengingati sesuatu yang lebih penting. Walaupun Nabi SAW bersemadi di Madinah dengan jarak jauh lebih kurang 4,000 km namun itu tidak menjadi halangan untuk seseorang itu merasa hampir dengan Nabi.
Bacaan tasyahhud akhir merupakan bacaan yang termasuk di dalam rukun solat maka apabila Allah SWT meletakkan kalimah "as-salamualaika aiyyuhan Nabiyu' di dalamnya ini bermakna ia bukan sahaja wajib disebut atau dibaca tetapi juga perlu dihayati sepenuhnya menurut makna kalimah yang sebenarnya. Ucapan :'Selamat sejahtera ke atas engkau' merupakan ucapan seolah-olah berdepan. Tidak bererti penggunaan perkataan 'alaika' yang bermaksud 'ke atas kamu' jika tidak dirasai bahawa orang yang menerima ucapan itu sedang berada hampir dengannya. Ucapan 'selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi' itu juga menggambarkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada nabi, kerana nabi SAW telah menyumbangkan begitu besar jasanya kepada umat manusia dan juga seluruh alam ini. Terima kasih kerana Nabi SAW telah membawa obor hidayah ketika manusia meraba-raba di dalam kesesatan jahiliyah. Melaluinya manusia dapat menerima ajaran wahyu Allah yang dengannya pasti dapat menyelamatkan manusia daripada segala kesengsaraan di dunia mahupun di akhirat.
Walaupun manusia boleh mengucapkan selawat sebanyak-banyaknya kepada Nabi di luar solat tetapi Allah mengkehendaki manusia mengucapkannya di dalam solat sebagai suatu cara supaya ummah tahu mengenang jasa yang dibawa oleh Rasul-Nya dengan berselawat ini ia dapat merasai keakraban antara ummah dan Rasul yang menjadi kesayangannya. Oleh itu untuk seseorang merasa lazat di dalam solatnya maka hendaklah ia bersunguh-sungguh setiap kali ia mengucapkan selawat ke atas nabi SAW maka ia tidak syak bahawa Nabi mendengar dan serentak dengan itu Baginda menjawabnya. Alangkah bahagianya seseorang itu jika ia tahu bahawa ucapan selawatnya ke atas Nabi SAW telah dijawab dengan baik. Seseorang yang sangat menyayangi Nabi maka ia akan sentiasa rindu untuk sering bertemu dengannya kerana itu ia akan sering melakukan solat sunat setelah ia menunaikan solat yang fadhu. Selawat ke atas Nabi SAW juga merupakan ciri ketaatan kepada Allah SWT kerana Allah SWT yang menganjurkan demikian.
Didalam suatu hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang berselawat ke atasku satu kali maka Allah SWT pula akan berselawat ke atasnya sepuluh kali ganda" Apabila Allah SWT berselawat ke atas orang yang berselawat ke atas Nabi maka bererti ia telah mendapat penghargaan yang setingi-tingginya dari Allah SWT ini bermakna orang tersebut ada harga di sisi Allah. Oleh yang demikian sayugialah seseorang itu sentiasa bibirnya itu digerakkan oleh lafaz atau selawat ke atas Nabi kerana ia amat besar ertinya bagi seorang hamba yang bercita-cita untuk sentiasa mendampingi Allah dan Rasul-Nya.

Tiada ulasan: